Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Khamis, 26 Julai 2012

CUEPACS UCAP TERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN ATAS PEMBERIAN BONUS

Bernama
26/7/2012
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pemberian bonus dan juga Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap dedikasi penjawat awam serta pesara kerajaan.

"Pemberian bonus dan bayaran khas ini memang sungguh bermakna khasnya kepada penjawat awam yang berpendapatan sederhana terutamanya bagi membuat persiapan perayaan (Aidilfitri) yang bakal tiba," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pemberian bonus dan bayaran khas yang akan dibuat pada 9 Ogos itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Omar turut berharap penjawat awam dan pesara kerajaan akan menggunakan pemberian bonus dan bayaran khas itu dengan sebaik-baiknya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: