Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Khamis, 20 September 2012

BELANJAWAN: PENJAWAT AWAM SEDIA KERJA LEBIH WAKTU JIKA TUNTUTAN DIPENUHI

Bernama
20/9/2012


KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata lebih 1.4 juta penjawat awam sedia bekerja lebih masa jika 70 peratus daripada enam cadangannya dilulus kerajaan dalam Belanjawan 2013.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata penjawat awam akan bekerja lebih masa selama 30 minit tanpa ganjaran jika tuntutan mereka termasuk penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) diterima kerajaan.

"Cuepacs akan pastikan penjawat awam akan melakukan satu perubahan drastik dari segi budaya bekerja, kalau boleh kita datang 15 minit awal dan balik lewat 15 minit yang merupakan komitmen daripada penjawat awam bagi menghargai jasa kerajaan meluluskan tuntutan tersebut," katanya kepada pemberita Rabu.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Cuepacs ke-9 di sini, berkata penjawat awam masih menunggu perubahan dan penambahbaikan ke atas SSM setelah diumumkan pada 8 Mac lepas, susulan pembatalan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam.

Tuntutan lain ialah penyelesaian isu tangga gaji maksimum yang tidak selaras dengan kenaikan gaji tahunan; projek perumahan di bawah harga RM135,000 dalam kawasan bandar; menaikkan imbuhan tetap perumahan; kedudukan status 45,000 penjawat awam berstatus kontrak; bonus dua bulan gaji dan mengkaji semula pemansuhan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di peringkat pusat.

-- BERNAMA

Sabtu, 15 September 2012

CUEPACS PERSOAL KEPUTUSAN JPA MANSUH MBK PERINGKAT PUSAT

Bernama
15/9/2012


KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mempersoalkan keputusan Bahagian Saraan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memansuhkan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) peringkat pusat dan hanya mengekalkannya pada peringkat negeri sahaja.

Presidennya Datuk Omar Osman menyifatkan pemansuhan tersebut sebagai satu penganiayaan terhadap penjawat awam kerana MBJ pusat merupakan badan perundingan tertinggi yang bertanggungjawab menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi pekerja.

"Fungsi MBJ pusat adalah untuk menyelesaikan apa juga masalah pekerja awam yang gagal diselesaikan pada peringkat negeri dan ianya penting kerana pada peringkat inilah ketua-ketua pengarah akan berkumpul bersama bagi membincangkan dan mencari penyelesaian kepada sebarang masalah penjawat awam di peringkat bawahan.

"Apabila dimansuhkan MBJ pusat, saya melihat tiada gunanya untuk mengekalkan MBJ negeri kerana kuasa yang ada padanya (MBJ negeri) terhad...jadi bagaimana mahu selesaikan masalah penjawat awam termasuk isu kebajikan mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Majlis Bersama Jabatan (MBJ) merupakan sebuah medium dua hala yang ditubuhkan 20 tahun lepas dan berfungsi sebagai saluran komunikasi antara pihak pekerja dengan pihak pengurusan.

Omar menegaskan pihaknya akan mengadakan satu meyuarat tergempar pada minggu pertama Oktober depan bersama semua kesatuan gabungan di bawah Cuepacs bagi membincangkan serta mencari keputusan bersama berkenaan perkara tersebut.

-- BERNAMA

Jumaat, 14 September 2012

KETUA JABATAN DIINGATKAN TIDAK ABAI KEBAJIKAN DAN KEPERLUAN ANGGOTA BAWAHAN - KSN

Bernama
14/9/2012


KUCHING, 13 Sept (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa pada Khamis mengingatkan semua ketua jabatan dan agensi kerajaan agar sentiasa mengambil berat kebajikan serta kemudahan kerja penjawat awam di bawah jabatan masing-masing.

Beliau berkata jangan hanya mengharapkan mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berkelas dunia kepada rakyat namun pada masa sama mereka bekerja dengan kemudahan dan suasana sebaliknya.

"Ketua jabatan jangan hanya melihat apa yang berlaku di hadapan kaunter perkhidmatan, lihat juga apa yang ada di belakang kaunter sama ada ia juga bertaraf dunia," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Katanya selain itu beliau turut menggalakkan lebih ramai ketua jabatan dan agensi untuk turun padang melihat dengan lebih dekat pelaksanaan dasar kerajaan agar ia sampai kepada golongan sasar iaitu rakyat selain mencari penyelesaian segera kepada sebarang isu yang dibangkitkan.

Menurutnya konsep Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) bersama dengan cara kerja yang lebih kreatif dan inovatif penting dalam meningkatkan lagi perkhidmatan awam ke peringkat yang lebih baik.

-- BERNAMA

Ahad, 9 September 2012

CUEPACS HARAP KERAJAAN BERI BONUS TERBAIK KEPADA PENJAWAT AWAM

Bernama
10/9/2012




KOTA BAHARU, 9 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan memberi bonus yang terbaik kepada anggota perkhidmatan awam pada Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen 28 Sept ini.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata sebelum ini CUEPACS memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dan pihaknya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan perkara tersebut berdasarkan kemampuan kerajaan.

"Dalam sejarah, kita tidak pernah dapat dua bulan bonus. Bonus terbaik yang pernah diberi kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam ialan bonus sebulan gaji iaitu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini Ahad.

Omar berkata penjawat awam wajar memperoleh bonus terbaik memandangkan transformasi yang dilakukan di jabatan dan agensi kerajaan yang melonjakkan prestasi dan kecekapan mereka melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memberi nama baru kepada jawatan yang berkaitan dengan pembantu seperti pembantu pertanian, pembantu pegawai tadbir dan pembantu juruteknik.

-- BERNAMA