Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Rabu, 13 Mac 2013

MAJLIS KANSER NASIONAL ( MAKNA )



Setiausaha KESUKMA
13/3/2013



Assalamualaikum

Dimaklumkan bahawa Kolej Pendeta Za'ba UKM akan mengadakan  " Mobile Breast Cancer Screening Program". Program ini merupakan satu program kerjasama antara antara Karnival Premier Za'ba 2013 ( KAPREZA` 13 ) dengan Majlis Kanser Nasional ( MAKNA ). Pihak kami ingin memohon sokongan daripada pihak Tuan untuk menghantar wakil peserta bagi menghadiri program tersebut.

Tarikh : 21- 23 Mac 2013
Masa : 8.30 pagi - 4.30 petang
Tempat: Aras 5 Bangunan Pusanika

Bersama-sama ini saya lampirkan poster, kriteria dan syarat bagi setiap program serta borang penyertaan untuk diisikan. Pihak kami amat berbesar hati sekiranya pihak Tuan dapat menghantar 100 orang peserta untuk program ini. Diharapkan pihak Tuan dapat melengkap borang penyertaan yang dilampirkan sebelum 15 Mac 2013. Kesudian pihak Tuan memberi kerjasama dan menyertai program ini amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan terima
kasih.

ATIKA SHAFFIKA BINTI NASARUDIN
FAKULTI PENDIDIKAN UKM BANGI
PENDIDIKAN KHAS
0194028197

Selasa, 12 Mac 2013

GAJI PDRM, ATM IKUT PERKHIDMATAN AWAM

Berita Harian
12/03/2013


Putrajaya: Kerajaan mengumumkan kenaikan gred gaji baru bagi pegawai dan anggota tentera serta polis untuk disetarakan dengan perkhidmatan awam lain dalam Sistem Saraan Baru (SSB).

Pelarasan yang dinamakan Sistem Saraan Transformatif (SST) itu akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diguna pakai sebelum ini, diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Beliau berkata, pelarasan gaji bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkuatkuasa 1 Januari lalu bakal memanfaatkan 233,192 anggota pasukan keselamatan di seluruh negara, iaitu 109,209 PDRM dan 123,983 ATM.


Pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji.

Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas khas, struktur pangkat dan kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM serta PDRM, katanya.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Farida Mohd Ali.

Pendek masa naik pangkat
 
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan setuju menambahbaik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat kumpulan pelaksana kakitangan awam dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun.

Katanya, pelaksanaan penambahbaikan itu berasaskan kecemerlangan yang akan memanfaatkan lebih 17,000 penjawat awam yang layak.

Di samping itu, kerajaan secara prinsipnya bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat laluan pantas, kenaikan pangkat laluan pakar bidang dan kenaikan pangkat laluan kemahiran tinggi bagi menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang.

Kaedah pelaksanaannya, termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru itu akan diperincikan sebelum dilaksanakan, katanya.

Kenaikan gaji tahunan

Najib turut menyampaikan berita gembira kepada 182,434 penjawat awam yang berada pada tangga gaji maksimum dan tidak menikmati kenaikan gaji tahunan dengan mengumumkan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak tiga kenaikan, berkuat kuasa 1 Januari 2013 untuk semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum.

Selain itu, semua penjawat awam menerima faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT yang dipercepatkan pada 1 Julai 2013 dengan setiap penjawat awam mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred gaji masing-masing, membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.

Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada pada gaji maksimum, katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju menyambung perkhidmatan hampir 50,000 kakitangan awam kontrak selama setahun lagi apabila kontrak mereka tamat pada 31 Disember depan sementara menunggu kajian menyeluruh berhubung perkara itu dilaksanakan.

Isnin, 11 Mac 2013

PM UMUM 9 PERKARA ' BERITA BAIK', KENAIKAN TAHUNAN DIAWAL

sINAR HARIAN
NIZAM ZAIN

11 Mac 2013
Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 'berita baik' sembilan perkara yang dinantikan oleh 1.4 juta kakitangan awam termasuk kenaikan gaji tahunan yang diawalkan dan akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Mengumumkan perkara itu di sini hari ini, Najib berkata, kesemua inisiatif yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada sistem saraan baru iaitu Sistem Saraan Transformatif (SST) - yang menggantikan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dibatalkan tahun lalu.

Antaranya:

- Mulai 1 Januari 2013, pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan perkhidmatan awam iaitu Koperal ATM & PDRM dari gred gaji 17 kepada gred 22; Sarjan ATM dan PDRM dari Gred 27 kepada Gred 29; Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 44; Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 46A; Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dari Gred 48 kepada 52;

- 50,000 pegawai kontrak yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 akan disambung lagi setahun. Kajian menyeluruh akan dilaksanakan kemudian;
- Skim perkhidmatan dari Gred 1 hingga 10, dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat ini;
- Kerajaan setuju laksana urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat dari tempoh 15 tahun kepada 13 tahun. Ia libatkan seramai 17,000 penjawat awam yang layak;
- Kerajaan setuju luaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi;

-  Seramai 182,434 penjawat awam punyai gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat kenaikan gaji tahunan, semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum ditambah Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak tiga kenaikan gaji tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Januari 2013;

- Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju beri Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus kepada pegawai yang capai dan punyai gaji maksimum;

- Dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), bagi KGT Gred 1 hingga 11 dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, kerajaan setuju buat tambah baik sebelum akhir 2013 berpandukan prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja relativiti dan pariti perkhidmatan serta "pay for performanca";

- Kerajaan setuju beri semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai 2013. Setiap penjawat awam terima antara RM80 hingga RM320. Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion;

Khamis, 7 Mac 2013

MOHON FAEDAH SEPERTI KAKITANGAN AWAM

 
Khairul Azran Hussin | khaiazr@mediaprima.com.mya



CUEPACS minta kerajaan rangka akta baru untuk badan berkanun

Shah Alam: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan merangka satu akta bagi membolehkan kakitangan badan berkanun memperoleh faedah sama seperti dinikmati penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata akta itu jika digubal perlu merangkumi empat perkara penting, iaitu kenaikan pangkat, gaji, pilihan persaraan dan penggunaan surat pekeliling yang mana pelaksanaannya kini adalah berbeza antara setiap badan berkanun. 

Perlu kaji gaji


“Kadang-kala ada pengarah badan berkanun berada di gred JUSA C dan sudah berada di gred ini terlalu lama. Sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku, kerana pengarah ini sudah tentu memegang tanggungjawab yang berat. Begitu juga dengan gaji, perlu lihat semula gaji maksimum.

“Selain itu, jika sesebuah badan berkanun itu diswastakan, kakitangannya hanya diberi dua pilihan, iaitu menjadi pekerja swasta atau bersara awal.
Selain dua pilihan ini, sepatutnya ada satu lagi pilihan, iaitu tukarkan kakitangan yang tidak berminat menyertai sektor swasta ke agensi lain.

“Ada badan berkanun tidak mengguna pakai surat pekeliling diedarkan kerana ia memerlukan kelulusan lembaga pengarah, sehingga menjejaskan pelaksanaannya,” katanya selepas majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Anggota Badan Berkanun CUEPACS di sini, semalam.
Persidangan yang dihadiri kira-kira 600 kakitangan badan berkanun itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Lakukan transformasi

Omar berkata, sudah tiba masanya transformasi dilakukan dalam badan berkanun bagi memastikan ia terus menjadi nadi kepada kerajaan, seiring dengan peranannya yang semakin penting bagi menuju negara maju menjelang 2020.

Terdahulu dalam ucapannya, Omar berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan perkara yang menggembirakan pada perhimpunan penjawat awam di Putrajaya, 11 Mac ini.

“Kita harap ada sesuatu yang menggembirakan untuk kita semua. Bersama-samalah kita berdoa semoga beberapa tuntutan yang kita kemukakan sebelum ini diterima kerajaan,” katanya.

Rabu, 6 Mac 2013

BADAN BERKANUN PERLU DITRANSFOPRMASI DEMI KEBAJIKAN ANGGOTANYA - CUEPACS

Bernama
7/3/2013



SHAH ALAM, 6 Mac (Bernama) -- Suatu bentuk transformasi perlu dilakukan terhadap badan berkanun bagi menjamin kebajikan anggota dan pegawainya, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.
Beliau berkata antara perkara yang perlu diteliti semula ialah sistem kenaikan pangkat dan perjawatan dalam badan berkanun dari kumpulan pelaksana hingga ketua jabatan.
"Ada di antara ketua pengarah (badan berkanun) yang memegang gred jawatan Jusa C, ada yang 54 dan mereka memegang gred jawatan mereka itu terlalu lama," katanya selepas majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pertama Anggota Badan Berkanun 'Transformasi dan Revolusi' yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa di sini.
Oleh itu, katanya gred jawatan tertinggi bagi ketua pengarah badan berkanun ini perlu diseragamkan.
Selain itu beliau berkata pesara daripada badan berkanun tidak memiliki kad pencen sebagaimana rakan penjawat awam daripada jabatan kerajaan.
"Pesara badan berkanun menghadapi masalah apabila ingin mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana mereka perlu membayar dahulu rawatan disebabkan mereka tidak memiliki kad pencen.
"Berlaku juga ketidakseragaman di antara badan berkanun terutamanya dalam pembayaran bonus kerana ada yang mampu membayar empat bulan manakala ada yang tidak mampu membayar satu setengah bulan sehingga terpaksa memotong peruntukan lain untuk membayar bonus," katanya.
Beliau juga berkata perlu ada jaminan kepada anggota dan pegawai badan berkanun sekiranya organisasi mereka diswastakan kerana kemampuan menjana pendapatan sendiri.
Lazimnya apabila organisasi mereka diswastakan mereka hanya diberikan pilihan sama ada kekal bekerja dengan agensi itu sebagaimana sektor swasta atau berhenti bekerja, katanya.
Omar berkata dari segi pentadbiran pula tidak ada keseragaman dalam pelaksanaan arahan kerajaan menerusi surat pekeliling kerana ia diputuskan lembaga pengarah organisasi masing-masing.
Oleh itu beliau berkata persidangan yang berakhir esok akan menyediakan kerangka cadangan bagi mewujudkan akta khusus badan berkanun yang menyentuh aspek perjawatan, persaraan, penswastaan dan prosedur operasi.