Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Rabu, 11 Julai 2012

CUEPACS GESA PEMBANTU MAKMAL IPTA DINAIKAN GRED

Bernama
11/7/2012

SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menaikkan gred jawatan kira-kira 2,000 pembantu makmal yang bertugas di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kesemua pekerja itu kini dalam gred C17 dan dicadang dinaikkan kepada gred C27 berikutan menanggung beban kerja yang berlebihan namun tiada apa-apa insentif diberikan.

"Kenaikan (gred) ini juga relevan kerana kumpulan terbabit bekerja lebih masa selain membantu pensyarah dan pelajar asing dalam menyiapkan tugasan dan kajian," katanya kepada pemberita selepas program Himpunan Transformasi dan Ikrar Integriti di sini.

Beliau berkata pihaknya akan memberi tempoh sehingga 30 Sept depan supaya perkara itu diambil tindakan segera.

Mengulas mengenai jumlah pemberian bonus yang perlu diberikan kerajaan kepada penjawat awam pada akhir tahun ini, Omar berkata kongres itu akan mengadakan mesyuarat pada 18 Julai bagi membincangkan isu tersebut.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: