Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Isnin, 26 Ogos 2013

KHIDMAT DR SHARIFAH HAPSAH NAIB CANSELOR UKM DILANJUT HINGGA AKHIR TAHUN

Bernama|
27/8/2013

 

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Tempoh perkhidmatan Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilanjutkan sehingga 31 Dis, sebelum digantikan Naib Canselor yang baharu.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan Jumaat berkata Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali akan menggantikan Sharifah Hapsah berkuatkasa 1 Jan tahun depan.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Noor Azlan dibuat selepas mengambil kira pengalaman akademik dan pentadbiran beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Di samping itu, kepakaran beliau dalam bidang ekonomi dan dasar pengajian tinggi negara diharapkan dapat membawa UKM ke peringkat yang lebih tinggi seiring dengan Pelan Transformasi Kerajaan dan Pelan Transformasi Ekonomi negara".

Noor Azlan berpengalaman luas dalam bidang ekonomi dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Malaysian Development Institute, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Penasihat Pengguna Kebangsaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu.

Selain itu, beliau yang juga Ketua Kluster bagi Kluster Pengurusan dan Ekonomi, Majlis Profesor Negara pernah memegang pelbagai jawatan pentadbiran di UKM seperti Dekan Graduate School of Business dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.

Malah kepakaran beliau dalam bidang ekonomi diiktiraf di peringkat antarabangsa setelah dilantik sebagai Mason Fellow di Kennedy School of Government, Harvard University dari Jun 2010 hingga Mei 2011.

Sementara itu, kementerian turut melahirkan penghargaan kepada Sharifah Hapsah atas kepimpinan dan bakti yang dicurahkan beliau sejak dilantik pada 28 Ogos 2006 sehingga berjaya meletakkan asas yang kukuh kepada UKM untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

-- BERNAMA

CUEPACS RAYU KERAJAAN SEGERAKAN PENYERAPAN KAKITANGAN KONTRAK

Bernama
27/8/2013
 KANGAR, 26 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kerajaan supaya menyegerakan penyerapan kira-kira 45,000 kakitangan kontrak ke jawatan tetap bagi menjamin masa depan mereka.Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata perkara itu boleh dilaksanakan berikutan jumlah kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam kini menjangkau angka 100,000.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dan dialog dengan kakitangan perkhidmatan awam anjuran Cuepacs Perlis di sini Isnin, beliau berharap perkara itu dapat direalisasikan menjelang akhir tahun depan.
Menurut Omar, adalah tidak adil jika pekerja kontrak yang berkhidmat begitu lama di jabatan kerajaan tidak diserap ke jawatan tetap walaupun berkali-kali menghadiri temu duga sedangkan orang luar yang langsung tiada pengalaman, dilihat lebih mudah menerima tawaran jawatan tetap.
"Ini menampakkan seolah-olah ada diskriminasi dalam perkhidmatan awam sedangkan kebanyakan kakitangan kontrak menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan," katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Cuepacs Perlis, Md Jamel Khir Ismail.
Beliau bimbang dengan masa depan kakitangan kontrak apabila perkhidmatan mereka ditamatkan setelah kekosongan jawatan tetap diisi oleh individu lain.
Omar juga berharap jabatan dan agensi yang mempunyai kakitangan kontrak memastikan kakitangan terbabit diberi caruman dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya mereka boleh menuntut pampasan jika berlaku kemalangan.
Mengenai skim perumahan untuk kakitangan awam, beliau berharap kerajaan-kerajaan negeri mencontohi Wilayah Persekutuan yang menyediakan rumah yang dijual pada harga serendah RM120,000 yang pembayarannya dibuat melalui potongan gaji.
Katanya kerajaan perlu memberi perhatian terhadap masalah perumahan kakitangan awam kerana lebih 30 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam di negara ini belum mempunyai kediaman sendiri.
Beliau berkata Cuepacs juga sedang berbincang dengan kerajaan supaya menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan kakitangan perkhidmatan awam daripada empat peratus sekarang kepada satu peratus.


-- BERNAMA