Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Rabu, 13 Februari 2013

CUEPACS KEMUKA CADANGAN KENAIKAN ELAUN PENJAWAT AWAM

Berita Harian
13/2/2013
Kuala Lumpur: CUEPACS dijangka mengemukakan beberapa cadangan berhubung kenaikan elaun penjawat awam dalam pertemuan kesatuan sekerja itu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa di Putrajaya, hari ini.
Antaranya mengenai Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Sara Hidup (COLA), tuntutan penginapan, status jawatan kontrak, gaji maksimum dan peranan ketua jabatan.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata sebagai contoh CUEPACS mencadangkan supaya COLA diselaraskan kepada RM300, manakala ITP pula ditingkatkan daripada RM180 kepada RM450 berdasarkan kos hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Omar berkata, mengenai tuntutan penginapan pula, pihaknya berharap ia akan ditingkatkan kepada RM200 berbanding RM120 ketika ini, kerana kebanyakan hotel sudah menaikkan harga.
“Jumaat lalu, beliau (Ali) mengumumkan lebih 80 jenis elaun penjawat awam akan dikaji semula dan memandangkan kepemimpinan tertinggi CUEPACS mengadakan pertemuan bersamanya esok (hari ini), maka kita akan turut mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan.
“Kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula perkara (elaun) itu, menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah melupakan soal kebajikan penjawat awam,” katanya kepada BH, semalam.
Tujuan lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahannya sebelum diumumkan Perdana Menteri.
Omar berkata, selain itu CUEPACS juga akan membincangkan secara terperinci mengenai penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum serta kadar kenaikan (gaji) yang bakal diperoleh mereka.
“Sebelum ini dimaklumkan bahawa mereka mungkin menerima kenaikan antara dua hingga lima peratus, bagaimanapun ia hanya membabitkan kakitangan awam yang mempunyai prestasi cemerlang serta mencatat markah 80 dan ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).
“CUEPACS berharap kenaikan itu membabitkan semua kakitangan daripada kumpulan terbabit yang turut menyumbang kepada perkhidmatan awam. Kita juga akan berbincang mengenai peranan segelintir ketua jabatan yang kadang-kala menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja,” katanya.

Sabtu, 9 Februari 2013

SYOR COLA SERAGAM RM350

Berita harian
9/2/2013

Kuala Lumpur: Keputusan mengkaji lebih 80 jenis elaun penjawat awam bagi memastikan kebajikan penjawat awam terus terbela adalah tanda prihatin kerajaan terhadap golongan itu.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata usaha itu pasti membawa kelegaan kepada 1.4 juta penjawat awam, khususnya mereka yang terbabit.
“NUTP mengharapkan keputusan kajian itu dapat diumumkan dalam kadar segera. Sebaiknya sebelum berlangsungnya PRU-13, 20 peratus daripada lebih 80 jenis elaun penjawat awam sudah dikaji dan ditambah baik untuk dimanfaatkan kepada penjawat awam,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.


Beliau mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Datuk Dr Ali Hamsa, semalam mengenai lebih 80 jenis elaun penjawat awam akan dikaji secara terperinci, termasuk elaun sara hidup dan gaji statik bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahannya.

Beliau, yang juga Naib Presiden (Pendidikan) CUEPACS berkata, antara 20 peratus daripada yang patut diberi keutamaan kajian, termasuk Elaun Sara Hidup (COLA) dan jadual gaji penjawat awam.

“COLA sepatutnya diseragamkan, sama ada kepada mereka yang bekerja di bandar atau luar bandar. Sekarang, ada yang mendapat RM300, RM250 dan RM150.
Ada yang mengatakan perbezaan itu perlu kerana kos hidup di bandar lebih tinggi, manakala di luar bandar lebih rendah.
“Kos sara hidup di luar bandar juga tinggi, tetapi membabitkan aspek lain. COLA sepatutnya diseragamkan kepada RM350 bagi semua penjawat awam,” katanya.

LANTIKAN PEGAWAI KONTRAK KE JAWATAN TETAP BERGANTUNG KEPADA SKIM KONTRAK - SPA

Bernama
8/2/2013

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam berkata pelantikan pegawai kontrak ke jawatan tetap bergantung kepada skim kontrak itu sendiri yang berbeza mengikut jawatan.
Beliau berkata antara yang diberi pertimbangan termasuklah sama ada ia berasaskan 'kontrak perkhidmatan' iaitu pelantikan mengikut kepakaran dan tidak mengikut skim atau 'kontrak perkhidmatan' yang mempunyai skim perkhidmatan tersendiri.

"Selain itu ada kontrak yang mengikut musim atau projek, ada yang gaji hari, ada yang (kontrak) (setiap) tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi dengan pegawai lantikan secara kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini, Jumaat.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata penjawat awam berstatus kontrak yang telah lama berkhidmat perlu diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin tanpa perlu diadakan sebarang kajian.

Kenyataan itu dibuat susulan penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan SPA baru-baru ini dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.

Mahmood berkata SPA dengan kerjasama pelbagai pihak tidak bermaksud untuk membuat kajian, sebaliknya cuba membantu menyelesaikan masalah melibatkan pegawai-pegawai kontrak.

"Kita akan lihat dan bantu apa yang dibolehkan peraturan undang-undang kita, misalanya isu gaji permulaan, peluang kenaikan gred dan bagaimana lanjutan kontrak boleh dibuat serta merta," katanya.



-- BERNAMA

Jumaat, 8 Februari 2013

LEBIH 80 ELAUN PENJAWAT AWAM DIKAJI SEMULA - KSN

Bernama
8/2/2013
LABUAN, 8 Feb (Bernama) -- Lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup akan dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa Jumaat.
Beliau berkata kajian itu bagi memastikan kebajikan penjawat terus terbela dan akan menjadi berita gembira yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri.

Katanya pelbagai persoalan dan permintaan daripada kalangan penjawat awam yang inginkan kemunasabahan termasuklah status gred, status perjawatan kontrak, pelbagai elaun termasuklah perumahan dan tuntutan perjalanan telah diajukan semenjak beliau dilantik memegang jawatan itu.

"Kesemua ini adalah termasuk daripada jumlah lebih daripada 80 jenis elaun yang akan dikaji semula secara terperinci demi melihat kesamarataan dalam sistem pemberian elaun. Bukan itu sahaja gaji yang statik turut juga akan dikaji dan diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama ketua-ketua kampung dan penduduk Kampung Sg Labu di sini Jumaat.

Terdahulu beliau turut menjawab soalan dan kemusykilan penjawat awam dalam satu sesi dialog pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam. Lebih 1,000 penjawat awam hadir pada majlis itu.

Ali berkata beliau berpuas hati dengan prestasi perkhidmatan penjawat awam, namun mengingatkan mereka supaya tidak mudah berpuas hati tetapi sentiasa berusaha membuat penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya penjawat awam adalah pemelihara kepentingan awam dan sehubungan itu perlu mematuhi semua undang-undang, peraturan, arahan atau prosedur dan kegagalan berbuat demikian akan membolehkan tindakan tatatertib diambil mengikut Peraturan Peraturan Awam 1993 ataupun Akta Rahsia Rasmi 1972.

Selain itu, katanya satu daripada elemen penting bagi menjamin kemajuan perkhidmatan awam adalah hubungan baik dan saling memahami antara majikan dan pekerja yang harus terus dipupuk.

"Konsep Masyarakat Penyayang perlu wujud...sikap prihatin ketua jabatan (dengan pekerja bawahan) akan menimbulkan keseronokan bekerja yang akhirnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam," katanya.



-- BERNAMA

Jumaat, 1 Februari 2013

AKAN ADA LAGI BERITA GEMBIRA BUAT PENJAWAT AWAM - MUHYIDDIN

Bernama
1/2/2013

KOTA BAHARU, 31 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa permasalahan mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara selama ini.

"Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh kerajaan namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai.

"Tunggulah dan berdoalah agak panjang daripada biasa kerana mungkin ada berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Kelantan di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis dihadiri lebih 3,000 penjawat awam itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Muhyiddin berkata kerajaan sangat menghargai jasa dan peranan penjawat awam yang pada masa sama telah menjadi "mata dan telinga" kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat keseluruhan.

Beliau berkata melalui penjawat awam, kerajaan mendengar segala rintihan rakyat yang kemudiannya akan bertindak untuk membela mereka yang memerlukan pembelaan.

Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan peranan penjawat awam yang telah berjaya merealisasikan program transformasi negara sehingga lahir sebagai sebuah negara yang dikagumi.

"Saya bangga dengan peranan penjawat awam ini kerana segala yang kita sasarkan itu telah menjadikan keadaan negara jauh lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Beliau juga mahukan penjawat awam di semua sektor dapat memastikan setiap peruntukan pada belanjawan yang diumumkan dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata soal politik tidak akan diambil kira dalam membangunkan Kelantan kerana yang penting adalah memastikan rakyat negeri itu sama-sama menikmati pembangunan negara.

Pada sesi dialog selepas itu, Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Beliau berkata pihak tertentu tidak boleh membandingkan saiz penjawat awam di Malaysia dengan negara lain kerana keadaan itu sangat berbeza sama sekali.

Muhyiddin jturut menafikan negara akan muflis seperti dakwaan pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan berkemampuan untuk membangunkan negara.

"Selagi kerajaan Barisan Nasional kekal memerintah, kita tidak akan menjadi negara yang bankrap kerana kita ada segala kemampuan," katanya.

Beliau juga berkata segala bentuk bantuan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan pada masa hadapan jika keadaan ekonomi yang baik ketika ini dapat diteruskan lagi.

-- BERNAMA