Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Rabu, 30 Mei 2012

CUEPACS MINTA KERAJAAN NAIKKAN GRED 50,00 PEKERJA PERHUTANAN, PERTANIAN DAN TEKNIKAL

Bernama
30/5/2012


KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbang cadangan supaya menaikkan gred jawatan kira-kira 50,000 pekerja perhutanan, pertanian dan teknikal.

Setiausaha Agung CUEPACS Lok Yim Pheng berkata kesemua pekerja terbabit yang kini dalam gred G17, G22 dan G26 dicadang dinaikkan kepada gred G27, G32 dan G36 kerana mereka mempunyai kelayakan akademik dan sijil kemahiran.

Beliau berkata ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan pekerja mahir ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Jadi pekerja yang ada kemahiran khas atau bertaraf antarabangsa perlu diberi pengiktirafan," katanya kepada Bernama.

Lok berkata cadangan mengenai penarafan gred tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Mac lepas.

-- BERNAMA