Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Jumaat, 20 Julai 2012

19 JULAI DIISYTIHAR HARI PESARA

Bernama
19/7/2012

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Setiap 19 Julai, Malaysia akan meraikan Hari Pesara sebagai menghargai jasa pesara penjawat awam dalam membantu membangunkan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah membela kebajikan lebih 400,000 pesara penjawat awam dengan baik dan berharap pihak lain turut menunjukkan keprihatinan terhadap mereka.

Ketika merasmikan Perhimpunan Perdana Pesara Kerajaan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Khamis, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.

"Sebagai Perdana Menteri dan wakil kerajaan, sokongan tuan-puan semua amat besar ertinya (bagi kami)," katanya kepada kira-kira 3,500 pesara penjawat awam dari seluruh negara yang menghadiri majlis itu.

Pada majlis sama, Najib turut melancarkan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) yang akan menjadi perantara pesara penjawat awam dengan kerajaan serta membela nasib mereka.

Turut hadir Presiden KUPEKMAS Datuk Omar Osman yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Najib berkata sistem demokrasi berParlimen yang diamalkan di negara ini mengutamakan sokongan kepada kerajaan bagi meneruskan kesinambungan usaha memakmurkan negara.

"Sistem ini memberikan hak kepada rakyat untuk menentukan pihak mana yang layak pada masa tidak lebih lima tahun sekali. Dalam beri sokongan penentu, adalah perlu dinilai sejauh mana keyakinan kita terhadap pihak pimpin dan tadbir negara.

"Kriteria kelayakan ini perlu dilihat daripada 'track record' kerajaan, sejauh mana kerajaan membantu rakyat, menjaga kedaulatan negara dan membela nasib pesara penjawat awam," katanya.

Beliau berkata Malaysia adalah antara negara yang mempunyai skim pencen terbaik hasil daripada dasar ekonomi negara yang bersifat inklusif bukan eksklusif.

"Memberikan kenaikan atau imbuhan kepada penjawat awam atau pencen bagi pesara penjawat awam tertakluk kepada kemampuan (kerajaan). Berbelanja lebih daripada kemampuan adalah 'sifir' keruntuhan ekonomi negara," katanya.

Najib berkata dalam menjana ekonomi negara yang mampan, asas ekonomi perlu dipertingkatkan termasuk melalui peningkatan hasil negara dan perbelanjaan berhemat.

"Bila ekonomi negara kukuh baru kemampuan kita dapat dipertingkatkan seterusnya mampu dinikmati rakyat termasuk pesara penjawat awam, saya tidak boleh janji terhadap apa saya tak boleh tepati.

"Jangan percaya janji kosong daripada orang yang mengidam nak ke Putrajaya...sokonglah kerajaan BN (Barisan Nasional)," katanya.

Pada sesi dialog kemudian, Najib berkata cadangan supaya veteran tentera yang bersara kurang daripada 21 tahun perkhidmatan diberi pencen akan dinilai secara terperinci termasuk daripada aspek kesan kepada ekonomi.

"Kalau ikutkan hati, memang (kerajaan) nak bagi semua tuntutan tapi tak boleh kerana kita kena lihat implikasi kewangan kerajaan," katanya.

Najib berkata kerajaan juga perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan itu untuk bersikap adil kepada penjawat awam yang lain.

Sambil melahirkan rasa simpati, Najib yang pernah menjawat jawatan Menteri Pertahanan, berkata hakikatnya kerajaan tidak pernah menyuruh anggota berkenaan bersara awal sebaliknya ia pilihan individu yang dibuat atas beberapa sebab.

"Ada yang pilih untuk bersara awal kerana nak cari jawatan lain, peluang lain yang lebih baik tapi bila tak boleh, dia balik kepada nak pencen," katanya.

Beliau berkata kerajaan sememangnya berharap supaya semua anggota tentera dapat berkhidmat sehingga mencapai umur persaraan wajib sekaligus melayakkan mereka mendapat pencen untuk keperluan selepas bersara kelak.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: