Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Khamis, 26 Julai 2012

PM: BONUS RAYA SETENGAH BULAN

Sinar Harian
25 Julai 2012
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan. Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan."Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.
Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara. - Bernama

CUEPACS UCAP TERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN ATAS PEMBERIAN BONUS

Bernama
26/7/2012
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pemberian bonus dan juga Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap dedikasi penjawat awam serta pesara kerajaan.

"Pemberian bonus dan bayaran khas ini memang sungguh bermakna khasnya kepada penjawat awam yang berpendapatan sederhana terutamanya bagi membuat persiapan perayaan (Aidilfitri) yang bakal tiba," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pemberian bonus dan bayaran khas yang akan dibuat pada 9 Ogos itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Omar turut berharap penjawat awam dan pesara kerajaan akan menggunakan pemberian bonus dan bayaran khas itu dengan sebaik-baiknya.

-- BERNAMA

Selasa, 24 Julai 2012

KONVENSYEN PEMANTAPAN KERJA KE-6


Media Cuepacs
25/7/2012


Konvensyen Pemantapan Kerja Ke-6 akan diadakan di Hotel Renaissance Kota Bahru Kelantan pada 4 November hingga 6 November 2012. Peserta dianggarkan 200 orang terdiri dari UKM, IPTA dan Jabatan-jabatan kerajaan. Kesukma akan mengeluarkan borang penyertaan tidak lama lagi. Semua peserta dari ukm mesti mendapat kelulusan dari ketua jabatan masing-masing apabila urusetia KESUKMA mengeluarkan borang penyertaan konvensyen.





Ahad, 22 Julai 2012

PERSIDANGAN PERWAKILANDWI TAHUNAN KALI KE SEBELAS MAJLI BERSAMA KEBANGSAAN BAGI PEKERJA-PEKERJA SAINS DAN TEKNOLOGI

Media Kesukma
14/7/2012


Persidangan perwakilan Dwi Tahunan Majlis Bersama Kebangsaan Bagi Pihak Pekerja-Pekerja dan Sokong kali ke11 telah dijalankan pada 12 Julai 2012 bertempat di Grand Mandarin ballrom Mandarin Court Hotel Kuala Lumpur.. Seramai 120 orang perwakilan  dan 50 pemerhati yang hadir.

Majlis ini dirasmikan oleh Ybhg. Datuk Farida binti Mohd Ali Timbalan Ketua Pengarah JPA. Turut hadir sama Presiden Cuepacs, YM Raja Zaridah. Presiden KESUKMA mengekalkan jawatan yang disandang iaitu Timbalan Setiausaha buat kali kedua. Jawatan yang lain dipegang oleh ahli majlis yang lepas. 4 orang bersara iaiti, Hj Ramli Omar (Mardi) , Pn Siti Mahfuz (PPUM), Tuan Haji  Shukor (Kestor) dan Sdra Gulam Thastakeer (MBPP).

PEMBERIAN IMBUHAN AIDILFITRI UNTUK PENJAWAT AWAM IKUT KEMAMPUAN KERAJAAN -NAJIB

Bernama
22/7/2012

PEKAN, 21 Julai (Bernama) -- Pemberian imbuhan sempena Aidilfitri kepada penjawat awam adalah bergantung kepada kemampuan kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan wajah yang ceria, Najib berkata beliau akan melihat 'buku kira-kira' kerajaan terlebih dahulu berhubung perkara itu.

"Nantilah kita semak-semak dahulu, belek-belek dahulu, kena tengok-tengok buku kira-kira dahulu...kalau apa-apa pun kita semak dahulu, apa-apa keputusan mesti berdasarkan kepada kemampuan kerajaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai pemberian imbuhan itu baru-baru ini.

Pada 16 Julai, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan itu dan tidak menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan seperti menaikkan harga barangan.

Najib ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan cek Durian Runtuh Felda Fasa 2 dan pakaian kepada Pegawai-pegawai Masjid serta sumbangan Apron kepada peniaga dan bantuan cermin mata kepada penduduk Pekan di Dewan Umno Pekan, di sini.

Dalam ucapannya beliau menegaskan agar pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan tidak menghalang usaha kerajaan dalam memajukan negara.

Mengambil contoh penyenaraian saham Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, beliau berkata, pihak yang cuba menghalang disifatkan sebagai busuk hati kerana tidak suka melihat kerajaan membantu meningkatkan kehidupan rakyat.

"Jangan halang usaha kerajaan untuk majukan negara dan rakyat, tidak sokong tidak apa...dalam hal ini (penyenaraian FGVH) kita tak boleh halang sebab ini adalah hal yang baik dan untuk kebaikan rakyat," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian Najib berkata jika peneroka ingin membeli tambahan saham, mereka perlu membelinya di pasaran saham terbuka.

"Pihak Felda perlu membantu peneroka untuk membelinya di pasaran terbuka dengan harga semasa. Walaupun peneroka telah ditawarkan dengan 800 unit saham ketika saham tersebut dilancarkan mereka juga tetap dapat keuntungan kerana 20 peratus saham FGVH telah dimasukkan ke dalam tabung amanah yang akan membayar dividen setiap tahun kepada mereka," katanya.

Ditanya mengenai laporan akhbar berhubung senarai awal calon Barisan Nasional yang ditolak 50 peratus daripadanya, Najib berkata: "Kita belum memuktamadkan calon-calonnya dan kita akan memutuskannya apabila tiba masanya, jadi semuanya hanya spekulasi. Umno pun belum, kita tengah semak-semak dan belek-belek lagi," katanya.

-- BERNAMA

Jumaat, 20 Julai 2012

19 JULAI DIISYTIHAR HARI PESARA

Bernama
19/7/2012

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Setiap 19 Julai, Malaysia akan meraikan Hari Pesara sebagai menghargai jasa pesara penjawat awam dalam membantu membangunkan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah membela kebajikan lebih 400,000 pesara penjawat awam dengan baik dan berharap pihak lain turut menunjukkan keprihatinan terhadap mereka.

Ketika merasmikan Perhimpunan Perdana Pesara Kerajaan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Khamis, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.

"Sebagai Perdana Menteri dan wakil kerajaan, sokongan tuan-puan semua amat besar ertinya (bagi kami)," katanya kepada kira-kira 3,500 pesara penjawat awam dari seluruh negara yang menghadiri majlis itu.

Pada majlis sama, Najib turut melancarkan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) yang akan menjadi perantara pesara penjawat awam dengan kerajaan serta membela nasib mereka.

Turut hadir Presiden KUPEKMAS Datuk Omar Osman yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Najib berkata sistem demokrasi berParlimen yang diamalkan di negara ini mengutamakan sokongan kepada kerajaan bagi meneruskan kesinambungan usaha memakmurkan negara.

"Sistem ini memberikan hak kepada rakyat untuk menentukan pihak mana yang layak pada masa tidak lebih lima tahun sekali. Dalam beri sokongan penentu, adalah perlu dinilai sejauh mana keyakinan kita terhadap pihak pimpin dan tadbir negara.

"Kriteria kelayakan ini perlu dilihat daripada 'track record' kerajaan, sejauh mana kerajaan membantu rakyat, menjaga kedaulatan negara dan membela nasib pesara penjawat awam," katanya.

Beliau berkata Malaysia adalah antara negara yang mempunyai skim pencen terbaik hasil daripada dasar ekonomi negara yang bersifat inklusif bukan eksklusif.

"Memberikan kenaikan atau imbuhan kepada penjawat awam atau pencen bagi pesara penjawat awam tertakluk kepada kemampuan (kerajaan). Berbelanja lebih daripada kemampuan adalah 'sifir' keruntuhan ekonomi negara," katanya.

Najib berkata dalam menjana ekonomi negara yang mampan, asas ekonomi perlu dipertingkatkan termasuk melalui peningkatan hasil negara dan perbelanjaan berhemat.

"Bila ekonomi negara kukuh baru kemampuan kita dapat dipertingkatkan seterusnya mampu dinikmati rakyat termasuk pesara penjawat awam, saya tidak boleh janji terhadap apa saya tak boleh tepati.

"Jangan percaya janji kosong daripada orang yang mengidam nak ke Putrajaya...sokonglah kerajaan BN (Barisan Nasional)," katanya.

Pada sesi dialog kemudian, Najib berkata cadangan supaya veteran tentera yang bersara kurang daripada 21 tahun perkhidmatan diberi pencen akan dinilai secara terperinci termasuk daripada aspek kesan kepada ekonomi.

"Kalau ikutkan hati, memang (kerajaan) nak bagi semua tuntutan tapi tak boleh kerana kita kena lihat implikasi kewangan kerajaan," katanya.

Najib berkata kerajaan juga perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan itu untuk bersikap adil kepada penjawat awam yang lain.

Sambil melahirkan rasa simpati, Najib yang pernah menjawat jawatan Menteri Pertahanan, berkata hakikatnya kerajaan tidak pernah menyuruh anggota berkenaan bersara awal sebaliknya ia pilihan individu yang dibuat atas beberapa sebab.

"Ada yang pilih untuk bersara awal kerana nak cari jawatan lain, peluang lain yang lebih baik tapi bila tak boleh, dia balik kepada nak pencen," katanya.

Beliau berkata kerajaan sememangnya berharap supaya semua anggota tentera dapat berkhidmat sehingga mencapai umur persaraan wajib sekaligus melayakkan mereka mendapat pencen untuk keperluan selepas bersara kelak.

-- BERNAMA

Jumaat, 13 Julai 2012

CUEPACS BINCANG BONUS AIDIFITRI UNTUK 1.4 JUTA PENJWAT AWAM

Bernama :

13/07/2012


KUALA LUMPUR: Tuntutan bonus Aidilfitri untuk 1.4 juta penjawat awam di negara ini adalah antara isu yang akan dibincang pada mesyuarat Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Isnin ini. 


Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata permintaan bonus itu akan dibincang dari pelbagai sudut termasuk jumlah bayaran. CUEPACS juga akan membincangkan dasar baru Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan pemegang ijazah sarjana muda memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Omar mengulangi pendirian CUEPACS yang tidak bersetuju dengan dasar itu kerana dianggap menutup peluang kerjaya untuk lepasan SPM, selain boleh membawa masalah kepada SPA pada masa depan.

"Selain itu, CUEPACS juga membantah dasar SPA yang membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini," katanya.


Katanya, keputusan CUEPACS berhubung kedua-dua dasar itu akan dikemukakan kepada Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam pada 19 Julai ini.


Selain itu, Omar berkata, CUEPACS juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa di sini pada 16 Julai ini.

Selain beramah mesra, beliau berkata CUEPACS berharap Ali dapat memberikan pendapat dan komitmennya dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam.

- BERNAMA 

Rabu, 11 Julai 2012

CUEPACS GESA PEMBANTU MAKMAL IPTA DINAIKAN GRED

Bernama
11/7/2012

SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menaikkan gred jawatan kira-kira 2,000 pembantu makmal yang bertugas di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kesemua pekerja itu kini dalam gred C17 dan dicadang dinaikkan kepada gred C27 berikutan menanggung beban kerja yang berlebihan namun tiada apa-apa insentif diberikan.

"Kenaikan (gred) ini juga relevan kerana kumpulan terbabit bekerja lebih masa selain membantu pensyarah dan pelajar asing dalam menyiapkan tugasan dan kajian," katanya kepada pemberita selepas program Himpunan Transformasi dan Ikrar Integriti di sini.

Beliau berkata pihaknya akan memberi tempoh sehingga 30 Sept depan supaya perkara itu diambil tindakan segera.

Mengulas mengenai jumlah pemberian bonus yang perlu diberikan kerajaan kepada penjawat awam pada akhir tahun ini, Omar berkata kongres itu akan mengadakan mesyuarat pada 18 Julai bagi membincangkan isu tersebut.

-- BERNAMA

Khamis, 5 Julai 2012

Farida to fill in as PSD head

The Star
4/7/2012

 

KUALA LUMPUR: Datuk Farida Mohd Ali will take over the duties of the director-general of the Public Service Department starting July 1, pending the government's decision to appoint a new director-general.

.
Datuk Farida Mohd Ali was previously PSD deputy director-general of development
Chief Secretary to the Government Datuk Seri Dr Ali Hamsa, who made the announcement in a short press release yesterday, also expressed the government's gratitude and thanks to former director-general Tan Sri Abu Bakar Abdullah, 57, for his 35 years of service in the public sector.
Meanwhile, Cuepacs president Datuk Omar Osman, when contacted yesterday, said he would meet with Ali and Abu Bakar before commenting on the matter.

Selasa, 3 Julai 2012

CUEPACS TIDAK SETUJU DUA DASAR BARU SPA

Utusan Malaysia
3/7/2012
KUALA LUMPUR 2 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan dua dasar baru yang diperkenalkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam usaha meningkatkan peluang permohonan jawatan ke sektor awam.Presidennya, Datuk Omar Osman menyifatkan dasar-dasar berkenaan sebagai tidak relevan dan merupakan ‘langkah ke belakang’ berbanding amalan sebelum ini. Katanya, dasar tersebut langsung tidak mencerminkan daya saing dalam kalangan pemohon yang berbeza kelayakan malah mendakwa ia adalah satu pembaziran.
“Dasar seumpamanya pernah diamalkan dahulu, calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda layak memohon jawatan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagaimanapun, ia lebih banyak mendatangkan masalah berbanding menyelesaikannya, apa akan berlaku kepada calon yang memiliki diploma atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)?.“Sekiranya calon memiliki ijazah tersebut menerima tawaran yang setimpal dengan kelayakan, sudah tentu dia akan meninggalkan jawatan SPM yang dimiliki. Kemudian, SPA perlu buat lagi temuduga untuk cari pengganti, ia adalah pembaziran dan menyebabkan kekecohan.
“CUEPACS tidak bersetuju dan menolak dasar-dasar baru berkenaan. Ia bukanlah penyelesaian yang realistik kepada masalah 35,000 pemilik ijazah yang bekerja secara kontrak ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas tindakan SPA memperkenalkan dua dasar baru bertujuan meningkatkan peluang permohonan jawatan ke sektor awam berkuatkuasa semalam. Dasar yang diperkenalkan itu adalah membenarkan calon memiliki Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat SPM selain turut membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sahaja sebelum ini.
Ditanya sama ada CUEPACS akan berjumpa dan berbincang dengan SPA berhubung pelaksanaan dasar-dasar berkenaan, Omar berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian.
Sebaliknya, menurut beliau, pihaknya akan membincangkan perkara berkenaan di dalam mesyuarat kongres dan akan membawanya kepada perhatian Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara.“Tiada sebab untuk kami berjumpa dengan SPA. Masa mereka bincang untuk melaksanakan dasar ini, kami langsung tidak dipanggil.
“Kami akan membawa perkara ini kepada perhatian Perdana Menteri. Kalau tidak dapat, kami akan berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara," jelasnya.