KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Setiap 19 Julai, Malaysia akan
meraikan Hari Pesara sebagai menghargai jasa pesara penjawat awam dalam
membantu membangunkan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah membela kebajikan lebih 400,000
pesara penjawat awam dengan baik dan berharap pihak lain turut
menunjukkan keprihatinan terhadap mereka.
Ketika merasmikan Perhimpunan Perdana Pesara Kerajaan 1Malaysia di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Khamis, beliau turut mengucapkan
terima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan tidak berbelah bahagi
kepada kerajaan.
"Sebagai Perdana Menteri dan wakil kerajaan, sokongan tuan-puan semua
amat besar ertinya (bagi kami)," katanya kepada kira-kira 3,500 pesara
penjawat awam dari seluruh negara yang menghadiri majlis itu.
Pada majlis sama, Najib turut melancarkan Kelab Pesara Kerajaan
1Malaysia (KUPEKMAS) yang akan menjadi perantara pesara penjawat awam
dengan kerajaan serta membela nasib mereka.
Turut hadir Presiden KUPEKMAS Datuk Omar Osman yang juga Presiden
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Najib berkata sistem demokrasi berParlimen yang diamalkan di negara ini
mengutamakan sokongan kepada kerajaan bagi meneruskan kesinambungan
usaha memakmurkan negara.
"Sistem ini memberikan hak kepada rakyat untuk menentukan pihak mana
yang layak pada masa tidak lebih lima tahun sekali. Dalam beri sokongan
penentu, adalah perlu dinilai sejauh mana keyakinan kita terhadap pihak
pimpin dan tadbir negara.
"Kriteria kelayakan ini perlu dilihat daripada 'track record' kerajaan,
sejauh mana kerajaan membantu rakyat, menjaga kedaulatan negara dan
membela nasib pesara penjawat awam," katanya.
Beliau berkata Malaysia adalah antara negara yang mempunyai skim pencen
terbaik hasil daripada dasar ekonomi negara yang bersifat inklusif bukan
eksklusif.
"Memberikan kenaikan atau imbuhan kepada penjawat awam atau pencen bagi
pesara penjawat awam tertakluk kepada kemampuan (kerajaan). Berbelanja
lebih daripada kemampuan adalah 'sifir' keruntuhan ekonomi negara,"
katanya.
Najib berkata dalam menjana ekonomi negara yang mampan, asas ekonomi
perlu dipertingkatkan termasuk melalui peningkatan hasil negara dan
perbelanjaan berhemat.
"Bila ekonomi negara kukuh baru kemampuan kita dapat dipertingkatkan
seterusnya mampu dinikmati rakyat termasuk pesara penjawat awam, saya
tidak boleh janji terhadap apa saya tak boleh tepati.
"Jangan percaya janji kosong daripada orang yang mengidam nak ke Putrajaya...sokonglah kerajaan BN (Barisan Nasional)," katanya.
Pada sesi dialog kemudian, Najib berkata cadangan supaya veteran tentera
yang bersara kurang daripada 21 tahun perkhidmatan diberi pencen akan
dinilai secara terperinci termasuk daripada aspek kesan kepada ekonomi.
"Kalau ikutkan hati, memang (kerajaan) nak bagi semua tuntutan tapi tak
boleh kerana kita kena lihat implikasi kewangan kerajaan," katanya.
Najib berkata kerajaan juga perlu memberi pertimbangan sewajarnya
terhadap permintaan itu untuk bersikap adil kepada penjawat awam yang
lain.
Sambil melahirkan rasa simpati, Najib yang pernah menjawat jawatan
Menteri Pertahanan, berkata hakikatnya kerajaan tidak pernah menyuruh
anggota berkenaan bersara awal sebaliknya ia pilihan individu yang
dibuat atas beberapa sebab.
"Ada yang pilih untuk bersara awal kerana nak cari jawatan lain, peluang
lain yang lebih baik tapi bila tak boleh, dia balik kepada nak pencen,"
katanya.
Beliau berkata kerajaan sememangnya berharap supaya semua anggota
tentera dapat berkhidmat sehingga mencapai umur persaraan wajib
sekaligus melayakkan mereka mendapat pencen untuk keperluan selepas
bersara kelak.
-- BERNAMA