Bernama
20/9/2012
KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja
dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata lebih 1.4 juta penjawat awam
sedia bekerja lebih masa jika 70 peratus daripada enam cadangannya
dilulus kerajaan dalam Belanjawan 2013.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata penjawat awam akan bekerja lebih
masa selama 30 minit tanpa ganjaran jika tuntutan mereka termasuk
penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) diterima kerajaan.
"Cuepacs akan pastikan penjawat awam akan melakukan satu perubahan
drastik dari segi budaya bekerja, kalau boleh kita datang 15 minit awal
dan balik lewat 15 minit yang merupakan komitmen daripada penjawat awam
bagi menghargai jasa kerajaan meluluskan tuntutan tersebut," katanya
kepada pemberita Rabu.
Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi
Cuepacs ke-9 di sini, berkata penjawat awam masih menunggu perubahan dan
penambahbaikan ke atas SSM setelah diumumkan pada 8 Mac lepas, susulan
pembatalan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam.
Tuntutan lain ialah penyelesaian isu tangga gaji maksimum yang tidak
selaras dengan kenaikan gaji tahunan; projek perumahan di bawah harga
RM135,000 dalam kawasan bandar; menaikkan imbuhan tetap perumahan;
kedudukan status 45,000 penjawat awam berstatus kontrak; bonus dua bulan
gaji dan mengkaji semula pemansuhan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di
peringkat pusat.
-- BERNAMA