Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Khamis, 30 Ogos 2012

CUEPACS MOHON 438 PEMBANTU MAKMAL IPTA DINAIKKAN PENOLONG PEGAWAI SAINS

Bernama
30/8/2012



ALOR GAJAH, 29 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan menaikkan pangkat 438 pembantu makmal gred C17 di enam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada jawatan Penolong Pegawai Sains gred C27.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kesemua mereka telah mengikuti kursus peralihan Pembantu Makmal ke Penolong Pegawai Sains, namun hingga kini belum dinaikkan pangkat.

"Kita mohon agar mereka yang belum dinaikkan pangkat ini dilantik secara 'one-off' sebelum 10 Nov depan," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat khas Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia, di sini Rabu.

Katanya perkara itu wajar kerana pembantu makmal terbabit menjalankan kerja termasuk di luar waktu pejabat dan menggunakan peralatan berteknologi tinggi bagi membantu pensyarah dan penyelidik, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Omar berkata sebelum ini 750 pembantu makmal telah dinaikkan pangkat secara berperingkat oleh kerajaan.



-- BERNAMA

Tiada ulasan: