Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Sabtu, 15 September 2012

CUEPACS PERSOAL KEPUTUSAN JPA MANSUH MBK PERINGKAT PUSAT

Bernama
15/9/2012


KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mempersoalkan keputusan Bahagian Saraan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memansuhkan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) peringkat pusat dan hanya mengekalkannya pada peringkat negeri sahaja.

Presidennya Datuk Omar Osman menyifatkan pemansuhan tersebut sebagai satu penganiayaan terhadap penjawat awam kerana MBJ pusat merupakan badan perundingan tertinggi yang bertanggungjawab menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi pekerja.

"Fungsi MBJ pusat adalah untuk menyelesaikan apa juga masalah pekerja awam yang gagal diselesaikan pada peringkat negeri dan ianya penting kerana pada peringkat inilah ketua-ketua pengarah akan berkumpul bersama bagi membincangkan dan mencari penyelesaian kepada sebarang masalah penjawat awam di peringkat bawahan.

"Apabila dimansuhkan MBJ pusat, saya melihat tiada gunanya untuk mengekalkan MBJ negeri kerana kuasa yang ada padanya (MBJ negeri) terhad...jadi bagaimana mahu selesaikan masalah penjawat awam termasuk isu kebajikan mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Majlis Bersama Jabatan (MBJ) merupakan sebuah medium dua hala yang ditubuhkan 20 tahun lepas dan berfungsi sebagai saluran komunikasi antara pihak pekerja dengan pihak pengurusan.

Omar menegaskan pihaknya akan mengadakan satu meyuarat tergempar pada minggu pertama Oktober depan bersama semua kesatuan gabungan di bawah Cuepacs bagi membincangkan serta mencari keputusan bersama berkenaan perkara tersebut.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: