Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Selasa, 13 November 2012

CUEPACS PANDANG SERIUS TINDAKAN KERAJAAN BERHENTIKAN PEKERJA KONTRAK

Bernama
14/12/2012

KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memandang serius tindakan agensi kerajaan yang memberhentikan pekerja kontrak terutama yang telah berkhidmat selama 10 tahun.

Sambil menyifatkannya sebagai zalim, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, yang juga pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (GAKUM), berkata pihaknya kesal bahagian sumber manusia dalam setiap agensi berkenaan tidak mengambil berat perkara itu.


"Ini adalah perkara zalim. Mereka yang sudah berkhidmat 10 tahun memanglah gaji sudah mahal, maka majikannya mencari alasan mengatakan prestasi mereka tidak baik dan seterusnya tidak menyambung kontrak pekerja itu.


"Tetapi dalam masa dua bulan kakitangan kontrak baharu sudah dilantik," katanya pada sidang media sempena mesyuarat GAKUM di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Likas dekat sini Isnin.


Omar berkata Cuepacs memutuskan bahawa kesemua 45,000 kakitangan berstatus kontrak di semua sektor kerajaan hendaklah diserapkan ke jawatan tetap.


-- BERNAMA

Tiada ulasan: