Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Khamis, 31 Januari 2013

CUEPACS MAHU PEGAWAI KONTRAK DISERAP SEGERA

Sinar Harian
31 Januari 2013
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu penjawat awam berstatus kontrak yang telah lama berkhidmat diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin.Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata tidak perlu sebarang kajian dibuat terhadap masalah yang mereka hadapi kerana pekerja terbabit telah lama berkhidmat sehingga ada yang melebihi 10 tahun.
"Ini bukan lagi zaman kajian kerana isu itu telah diperjuangkan sejak sekian lama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel bersama Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.Semalam, Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), mula mengadakan perbincangan dengan wakil pegawai berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.
Jawatankuasa itu akan mengemukakan pandangan dan membuat syor tertentu kepada kerajaan sekiranya ia dapat merumuskan satu jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah pegawai kontrak. Menurut Omar, nasib kira-kira 50,000 pegawai lantikan kontrak ini perlu diberi perhatian kerana mereka berhak mendapat keistimewaan sebagaimana yang dinikmati penjawat awam lain."Berikan mereka keceriaan, lantik mereka ke jawatan tetap kerana mereka ada tanggungjawab, ada keluarga," katanya.
Selain itu Omar berkata Cuepacs turut menerima laporan berhubung kekosongan jawatan di sesuatu jabatan, namun ia akhirnya diisi oleh 'orang luar' sama ada graduan atau calon yang mempunyai 'orang dalam', sekali gus menafikan hak pekerja berstatus kontrak. Tegas beliau pekerja berstatus kontrak perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan bertaraf tetap. Sementara itu, Cuepacs katanya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diadakan satu perhimpunan penjawat awam bersama Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu.
Antara isu yang akan dibangkitkan termasuklah gaji maksimum, imbuhan tetap perumahan, skim bagi menggantikan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menaikkan taraf gred.Dalam pada itu Cuepacs akan mengadakan perjumpaan bersama jurufoto dan jurukamera dalam perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan pada 5 Feb depan bagi membincangkan masalah berbangkit, katanya."Sebelum ini banyak janji nak naik taraf gred mereka. Tetapi sehingga ke hari ini tidak tahu (keputusannya). Akhirnya mereka berbalik kepada Cuepacs."Mereka memerlukan skim yang lebih baik dan diberi insentif khas kerana cabaran jurufoto, jurukamera dan juruteknik bukan seperti dahulu," kata Omar. - Bernama

Khamis, 27 Disember 2012

CUEPACS: 45,000 KAKITANGAN DISAMBUNG KONTRAK 6 BULAN

Sinar harian
27 Disember 2012

KUALA LUMPUR - Cuepacs hari ini mengumumkan kontrak 45,000 kakitangan awam yang berstatus perkhidmatan kontrak akan disambung enam bulan lagi.
 
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kontrak mereka akan diperbaharui mulai 1 Januari sehingga hujung bulan Jun nanti.
 
"Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kebenaran ini, kesemua mereka akan mendapat surat penyambungan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Kongres di sini hari ini.
 
Beliau mendapat keputusan itu dalam minggu ini dan pengumuman itu akan memberi harapan baru kepada 45,000 kakitangan kerajaan yang bimbang dengan masa depan mereka ekoran kontrak bakal ditamatkan pada hujung tahun ini.
 
Omar juga meminta jasa baik kerajaan untuk membenarkan kakitangan kerajaan yang mempunyai rekod baik mengambil cuti tanpa rekod selama 10 hari.
 
Katanya, selain itu cuti tanpa rekod juga perlu diberi kepada ibu-ibu yang terpaksa menjaga anak yang sakit.

"Setahun ada 25 hari, kalau anak kena kuarantin 10 hari, kaum ibu kena ambil cuti 10 hari dan tinggal 15 hari sahaja, kalau tidak cukup cuti, kena ambil cuti tanpa gaji," katanya.
 
Beliau juga meminta penjawat awam yang mahu menunaikan umrah dibenar mengeluarkan caruman daripada simpanan gratuiti perkhidmatan antara RM5,000 dan  RM10,000.
 
Wang tersebut boleh diganti semula selepas mereka bersara nanti menggunakan duit pencen mereka, katanya.
 
"Cara ini lebih sesuai kerana kakitangan kerajaan tidak mempunyai KWSP tetapi mempunyai simpanan gratuiti perkhidmatan," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membenarkan orang ramai mengeluarkan wang daripada akaun kedua mereka untuk menunaikan umrah.

Cuepacs juga hari ini sebulat suara mengusulkan kepada kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
 
"Kajian terperinci perlu dibuat kerana ada kamera yang dipasang di kawasan yang tidak mempunyai data kemalangan, kawasan yang kerap kemalangan pula tidak dipasang," katanya.
 
Omar turut melahirkan rasa simpati terhadap pemandu jabatan kerajaan yang dipaksa membayar sendiri saman sedangkan mereka disaman kerana mematuhi arahan ketua yang menaiki kenderaan berkenaan.
 
Beliau memohon supaya saman had laju termasuk daripada AES dalam kes-kes seumpama itu dibayar oleh jabatan masing-masing.
 
"Mulai sekarang, biarlah yang membayar saman ini terdiri daripada pihak jabatan. Pemandu dengan upah RM800 ke RM1,500 sebulan, mana nak mampu bayar saman 2-3 kali sebulan sedangkan mereka dipaksa (memandu) laju kerana mengikut arahan," katanya. - Bernama

Jumaat, 23 November 2012

PERUBAHAN TEMPAT JADUAL PENGUKURAN PAKAIAN SERAGAM (KAMPUS KUALA LUMPUR)

Berita ewarga UKM
22/11/2012


Perubahan tempat pengukuran bagi kakitangan di UKM Kampus KL dari Bilik Mesyuarat Akademik, Aras 2 Blok E, Fakulti Perubatan ditukar kepada: Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3 Blok Q, Fakulti Pergigian. Tarikh dan masa adalah tidak berubah.

(ewarga/bul/bil.22112012-113)

Jumaat, 16 November 2012

JADUAL PENGUKURAN PAKAIAN SERAGAM

Petikan dari Ewarga
(ewarga/bul/bil.16112012-86)




Bahagian Pentadbiran Am, Jabatan Pendaftar,  mengaturkan sesi pengukuran pakaian seragam kakitangan (Lantikan UKM sehingga 31 Ogos 2012).  Jadual pengukuran telah ditetapkan seperti berikut :


(A) Sesi 1 (bagi kakitangan di UKM Bangi)
Tarikh: 26.11.2012 hingga 28.11.2012 (Isnin – Rabu)
Masa: 9.00 pagi hingga 4.00 petang
Tempat: Unit Aset, Stor dan Pelupusan, UKM Bangi

(B) Sesi 2 (bagi kakitangan di Fakulti Perubatan – Kompleks PPUKM)
Tarikh: 29.11.2012 hingga 30.11.2012 (Khamis – Jumaat)
Masa: 9.00 pagi hingga 4.00 petang
Tempat: Dewan Peperiksan, Tingkat 4, Blok Pendidikan, PPUKM

(C) Sesi 3 (bagi kakitangan di UKM Kampus KL)
Tarikh: 3.12.2012 hingga 4.12.2012 (Isnin - Selasa)
Masa: 9.00 pagi hingga 4.00 petang
Tempat: Bilik Mesyuarat Akademik, Aras 2, Blok E, Fakulti Perubatan

Senarai jawatan yang terlibat mengikut kategori seperti di Lampiran A.
Senarai Tukang Jahit Panel yang dilantik mengikut kategori seperti di Lampiran B.

2.   Bagi kakitangan yang tidak dapat hadir ke sesi pengukuran tersebut boleh mendapatkan bekalan kain di Unit Aset, Stor dan Pelupusan dan menguruskan sendiri jahitan pakaian di Tukang Jahit Panel yang dilantik.  Tarikh akhir penerimaan menjahit pakaian seragam kakitangan adalah pada 7 Disember 2012 (Jumaat).Sebarang pertanyaan sila hubungi En Amirudddin Isa (8921 4004).

Selasa, 13 November 2012

CUEPACS PANDANG SERIUS TINDAKAN KERAJAAN BERHENTIKAN PEKERJA KONTRAK

Bernama
14/12/2012

KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memandang serius tindakan agensi kerajaan yang memberhentikan pekerja kontrak terutama yang telah berkhidmat selama 10 tahun.

Sambil menyifatkannya sebagai zalim, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, yang juga pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (GAKUM), berkata pihaknya kesal bahagian sumber manusia dalam setiap agensi berkenaan tidak mengambil berat perkara itu.


"Ini adalah perkara zalim. Mereka yang sudah berkhidmat 10 tahun memanglah gaji sudah mahal, maka majikannya mencari alasan mengatakan prestasi mereka tidak baik dan seterusnya tidak menyambung kontrak pekerja itu.


"Tetapi dalam masa dua bulan kakitangan kontrak baharu sudah dilantik," katanya pada sidang media sempena mesyuarat GAKUM di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Likas dekat sini Isnin.


Omar berkata Cuepacs memutuskan bahawa kesemua 45,000 kakitangan berstatus kontrak di semua sektor kerajaan hendaklah diserapkan ke jawatan tetap.


-- BERNAMA

NSENTIF KHAS LULUSAN IJAZAH, DIPLOMA TIDAK NAIK PANGKAT

Utusan Malaysia
13/12/2012

KOTA KINABALU 12 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menyediakan insentif khas kepada penjawat awam yang tidak berpeluang dinaikkan pangkat meskipun mempunyai ijazah dan diploma.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mencadangkan agar insentif khas sebanyak RM350 diberikan kepada pemegang ijazah dan RM200 kepada pemegang diploma.
Beliau bagaimanapun berkata, insentif berkenaan hanya layak diberikan kepada petugas yang mempunyai ijazah atau diploma yang berkaitan dengan jawatan mereka."Sekarang kita ada hampir 5,000 pekerja sektor awam yang ada ijazah atau diploma tetapi terhad untuk meningkat kepada jawatan lebih baik tertakluk kepada jawatan kosong."Jadi kita mahu walaupun tidak dinaik pangkat tetapi diberi insentif tersebut memandangkan mereka dibebankan dengan tugas berdasarkan pengalaman mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.Menurut Omar, pemberian insentif itu akan dapat memberikan keadilan kepada penjawat awam selain menaikkan semangat mereka untuk bekerja bersungguh-sungguh.Sementara itu, beliau berharap kerajaan menetapkan kuota ke atas pengambilan jawatan kosong sektor awam bagi memberi keadilan kepada semua penjawat awam.
"CUEPACS mencadangkan 50 peratus kuota diberikan kepada penjawat awam sedang berkhidmat manakala 50 peratus lagi kepada pemohon baharu," katanya.Omar berkata, bagi memastikan kebajikan kira-kira 45,000 pekerja kontrak, kerajaan diminta menyerap kesemua pekerja kontrak yang berkhidmat sekurang-kurang lima tahun ke jawatan tetap.Katanya, sekiranya tidak dapat dilaksanakan serentak, kontrak pekerja berkenaan perlu disambung selain pengambilan pekerja kontrak baharu tidak diteruskan lagi."Saya kesal kerana ada agensi yang menamatkan pekerja mereka dan melantik pekerja baharu sebab mereka dapat membayar gaji yang murah kepada pekerja baharu," ujarnya.