Bernama
1/11/2013
PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Lebih 600,000 penjawat awam yang
terlibat dalam 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah
Bajet 2014 akan menerima surat tawaran opsyen itu bulan ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata
mereka perlu memberi maklum balas dalam tempoh sebulan daripada tarikh
surat itu dikeluarkan oleh ketua jabatan masing-masing.
Menurutnya perjumpaan dengan bahagian sumber manusia di semua agensi
dan kementerian terlibat untuk memberi maklumat terperinci berhubung
penambahbaikan itu akan diadakan secepat mungkin.
Bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Cuepacs
mengenai skim itu di sini Jumaat, Mohamad Zabidi berkata mereka yang
tidak bersetuju dengan opsyen itu akan kekal dalam skim atau jawatan
asal.
"Antara penambahbaikan itu ialah kenaikan taraf skim perkhidmatan gred 1
hingga 10 kepada gred 11, pemberian dua tambahan kenaikan mata gaji dan
pertukaran nama beberapa skim seperti diminta Cuepacs dan kesatuan
berkaitan," katanya.
Mohamad Zabidi berkata penambahbaikan itu adalah sejajar dengan kerja
keras penjawat awam pada masa kini yang bekerja dengan cepat, tepat dan
produktif.
Berikutan penambahbaikan terhadap 81 skim perkhidmatan itu, beliau
berkata jumlah skim perkhidmatan sedia ada dapat dikurangkan daripada
274 kepada 249 skim bermula 1 Jan 2014.
Sebelum ini, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kesatuan sekerja
yang terlibat dalam penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan,
Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan mengemukakan
memorandum penambahbaikan skim perkhidmatan masing-masing kepada
kerajaan.
Sementara itu Omar berkata skim-skim lain yang tidak termasuk dalam 81
skim yang ditambahbaik itu masih mempunyai harapan untuk mendapat
peluang yang sama.
"Untuk skim yang lain, kami sedang berunding," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan