Kota Kinabalu: Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan
Malaysia (Kesukma UKM) mengukuhkan lagi kerjasama dengan Universiti
Malaysia Sabah (UMS) melalui lawatan ke universiti di Negeri di Bawah
Bayu itu, baru-baru ini.
Lawatan Kesukma UKM Bangi yang disertai kira-kira 85 ahli itu
mengadakan kunjungan terhadap Pemangku Pendaftar UMS, No’man Ahmad yang
mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.
Rombongan Kesukma diketuai oleh Timbalan Presidennya, Hasnan Musa
bersama Kumpulan Jururawat daripada pelbagai majikan di Selangor.
Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden Kesatuan Kakitangan Am UMS
(KEKAUMAS), Amat Jutrah Musnih mengucapkan ribuan terima kasih kepada
pihak Kesukma UKM kerana memilih UMS sebagai tumpuan utama lawatan
mereka.
Katanya, hubungan antara UKM dengan UMS memang sudah lama terjalin
dalam kalangan pegawai pengurusan mahupun staf pelaksana kerana ramai
staf yang bertugas di UMS berasal dari UKM Kampus Cawangan Sabah dahulu.
Beliau turut memaklumkan UMS kini mempunyai dua kampus iaitu di
Wilayah Persekutuan Labuan dan Sandakan sekaligus mengukuhkan
kedudukannya sebagai IPTA yang unggul di rantau ini.
Sementara itu, No’man berharap kesemua peserta lawatan bergembira
dengan kehadiran mereka ke UMS kerana prasarana yang terdapat di UMS
tidak sama dengan universiti lain di Malaysia, ianya mudah diperolehi
untuk mereka yang benar-benar menghayati akan kekayaan sumber alam yang
terdapat di negeri yang memiliki gunung yang tertinggi di Malaysia iaitu
Gunung Kinabalunya.
Katanya, kakitangan UKM yang julung-julung kali datang ke Sabah
khususnya UMS itu bukanlah lawatan kali terakhir kepada mereka kerana
agak mudah akan kembali berulang kali ke Sabah.
Sambil mengucapkan selamat datang kepada semua ahli rombongan, No’man
berkata hubungan pihak pekerja yang diketuai Amat Jutrah dengan pihak
pengurusan di UMS memang akrab sekali.
“ Hubungan antara kakitangan dengan pengurusan UMS sangat baik hasil
kebijaksanaan Presiden Kekaumas, Amat Jutrah dan tolak ansur Naib
Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dalam menangani masalah
yang dihadapi kakitangan sokongan, “ katanya.
No’man yakin lawatan dari UKM itu akan memberi manfaat kepada
kedua-dua pihak dalam mengadakan jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang
sama ada yang berkaitan pengurusan, kakitangan mahupun pelajar.
Sementara itu, dalam ucapan balasnya, Hasnan Musa amat kagum dengan
kerjasama dan komitmen pihak Kesatuan UMS yang dapat mengatur kemudahan
perjalanan para peserta yang datang ke Sabah.
“ Ucapan terima kasih juga kami tujukan kepada pihak pengurusan UMS
kerana telah memberikan kerjasama dan layanan yang terbaik khususnya
kepada Naib Canselor dan Jabatan Pendaftar UMS, “ katanya.
Presiden Kesukma UKM Bangi, Abd. Rahman Nordin melahirkan rasa
sukacita dan terima kasih kepada pihak kesatuan dan pihak pengurusan UMS
di atas jasa baik yang telah diberikan kepada kesatuan itu.
Beliau yang datang kemudian juga mengucapkan syabas dan tahniah
kepada Kekaumas yang diterajui Amat Jutrah kerana dapat mengaturkan
program berkenaan.
Tamat.