Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Rabu, 30 Mei 2012

CUEPACS MINTA KERAJAAN NAIKKAN GRED 50,00 PEKERJA PERHUTANAN, PERTANIAN DAN TEKNIKAL

Bernama
30/5/2012


KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbang cadangan supaya menaikkan gred jawatan kira-kira 50,000 pekerja perhutanan, pertanian dan teknikal.

Setiausaha Agung CUEPACS Lok Yim Pheng berkata kesemua pekerja terbabit yang kini dalam gred G17, G22 dan G26 dicadang dinaikkan kepada gred G27, G32 dan G36 kerana mereka mempunyai kelayakan akademik dan sijil kemahiran.

Beliau berkata ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan pekerja mahir ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Jadi pekerja yang ada kemahiran khas atau bertaraf antarabangsa perlu diberi pengiktirafan," katanya kepada Bernama.

Lok berkata cadangan mengenai penarafan gred tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Mac lepas.

-- BERNAMA

Sabtu, 7 Januari 2012

KEJOHANAN TENPIN BOLING KESUKMA

Media Kesukma
9/1/2012


Dimaklumkan bahawa Kesatuan Kakitangan Am UKM (KESUKMA) akan menganjurkan Kejohanan Tenpin Boling KESUKMA seperti berikut:

Tarikh: 28 Januari 2012 (Sabtu)
Masa: 10.00 pagi
Tempat: Ampang Superbowl, Metropoint, Kajang, Selangor

Penyertaan terbuka kepada semua kakitangan UKM.

Maklumat lanjut sila klik poster dan borang.


Isnin, 5 Disember 2011

MAHKAMAH PUTUSKAN KESATUAN SEKERJA TIDAK BOLEH DISAMAN

Bernama
25/11/2011



KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Khamis memutuskan kesatuan sekerja menikmati imuniti mutlak daripada disaman di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Hakim Datuk V T Singham berkata Seksyen 22(1) akta itu memberikan perlindungan kepada kesatuan sekerja daripada mana-mana saman yang difailkan di mahkamah, malahan jika pun, wakil kesatuan telah memfitnah pihak satu lagi(majikan).

"Mungkin sudah tiba masanya bagi penggubal undang-undang untuk menimbangkan secara serius sama ada perbuatan fitnah tort, jika dilakukan oleh atau mewakili pihak kesatuan sekerja dan malahan jika ia dilakukan ketika sedang dipertimbangkan atau pelanjutan pertikaian sekerja, patut diberikan perlindungan imuniti seperti di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 22 akta itu," katanya.

Hakim Singham juga berkata adalah sangat jelas di bawah seksyen itu bahawa mahkamah tidak sepatutnya melayani sebarang saman terhadap kesatuan sekerja.

Oleh yang demikian, beliau menolak saman fitnah yang dikemukakan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan setiausaha agungnya J Sandagran Solomon.

Hakim Singham membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan NUBE untuk membatalkan saman itu atas alasan mereka mempunyai imuniti mutlak sebagai kesatuan sekerja mengikut Seksyen 22(1) akta itu.

Beliau juga memerintahkan Maybank membayar RM15,000 sebagai kos kepada para defendan.

Maybank memfailkan saman itu pada 22 April tahun ini, mendakwa Solomon, bertindak mewakili dirinya sendiri dan NUBE, pada Februari atau Mac tahun ini telah menerbitkan artikel mengandungi kenyataan berbaur fitnah mengenai syarikat itu dalam laman web NUBE.

Ia mendakwa kenyataan itu bermaksud plaintif telah menjalankan hal ehwalnya secara tidak amanah dengan mahu menggunakan dananya untuk manfaat pengurusan kanannya sahaja dengan meminggirkan pekerjanya.

Para defendan menyatakan kenyataan itu berkaitan dengan pertikaian yang sedang berlaku di antara plaintif dan NUBE berhubung dakwaan pemberian bonus yang kurang kepada staf peringkat bawahan syarikat itu.

Mereka berkata pertikaian itu telah berlarutan sejak 2009 dan berterusan sehingga sekarang.

Isnin, 7 November 2011

KESATUAN SEKRJA BANTAH DAP

Utusan Malaysia
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA, MD. AZRIN ROSLY,
FAZRINA AYU RADUIAN dan MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
8/11/2011




KUALA LUMPUR 7 Nov. – Beberapa kesatuan sekerja hari ini bangkit menentang hasrat DAP yang mahu mengurangkan bilangan penjawat awam.

Sambil menyifatkan, ia satu tindakan berunsur politik dan mempunyai agenda tersirat, kesatuan-kesatuan juga menyifatkan cadangan itu sebagai tidak rasional serta tidak berasas.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, hasrat tersebut adalah tidak rasional kerana tidak mempunyai alasan yang munasabah.

“Kami di bidang perguruan khususnya menolak 100 peratus hasrat tersebut yang dilihat bukan satu langkah bijak.

“Lebih-lebih lagi peningkatan pelajar sebanyak 500,000 orang setiap tahun manakala banyak guru yang akan bersara menyebabkan keperluan guru meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara dan mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri tidak bersetuju dengan hasrat tersebut yang dilihat boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas.

“Contohnya, dalam bidang penguatkuasaan seperti kami, sekiranya tenaga kerja dikurangkan, sudah tentu akan menyukarkan untuk mengawal jumlah kenderaan yang berjuta-juta.

“Tidak mungkin, suatu masa nanti kita mahu menswastakan perkhidmatan awam yang menyebabkan lebih mementingkan keuntungan berbanding untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (Kesukma), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, pengurangan itu lebih membawa keburukan daripada kebaikan yang mana meningkatkan lagi pengangguran dan kebergantungan khidmat luar sehingga menyebabkan kos lebih tinggi.

“Hasrat DAP dilihat mempunyai agenda tersirat umpama ada udang di sebalik batu. Dalam perkhidmatan kami, bilangan pelajar semakin lama makin meningkat dan memerlukan penambahan kakitangan mengikut keadaan,” jelasnya.

Bagi Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Cawangan Kuala Lumpur, Ja‘apar Mansor berkata, tidak semestinya pengurangan bilangan penjawat awam akan dapat mengurangkan bajet kerajaan malah boleh menyebabkan kesan yang sebaliknya.

Pengerusi Persatuan Pekerja Wanita, Silam Hassan berkata, pengurangan berkenaan adalah agenda DAP untuk mengurangkan hasil ekonomi orang Melayu dan ini membuktikan mereka kurang senang dengan pencapaian bumiputera kini.

“Jika penjawat awam rata-rata bangsa Melayu dikurangkan, mereka juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberi peluang untuk menjawat jawatan di syarikat milik bukan Melayu,” katanya.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja Pekerja KTMB, Abdul Razak Md. Hassan berkata, hasrat tersebut perlu dibantah keras kerana kewujudan pelbagai sektor awam di negara ini adalah inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat di negara ini agar mempunyai punca pendapatan.

“Adakah dengan berniat mengurangkan jumlah penjawat awam maka ruang kerja akan disediakan oleh mereka yang terlibat. Ini sesuatu yang perlu dipandang serius dan ditentang kerana akan meningkatkan jumlah pengangguran,” katanya.

Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KSKM), Hamran Ahmad menyatakan kenyataan yang dibuat Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua itu lebih berat kepada unsur-unsur politik daripada menjaga kepentingan penjawat awam yang lebih 80 peratus terdiri daripada orang Melayu.

“Mengurangkan jumlah kakitangan bermakna ada penjawat yang akan kehilangan kerja. Ini akan membantutkan perkembangan ekonomi negara dan akan memberi impak yang tidak sihat kepada negara,” katanya.

Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia turut membantah cadangan DAP dengan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Presidennya, Alias Aziz berkata, kerajaan yang baik ialah kerajaan yang dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara.

Rabu, 19 Oktober 2011

CUEPACS MOHON KERAJAAN TIMBANG LANJUT PERKHIDMATAN PENJAWAT AWAM BERSTATUS KONTRAK

Bernama
19/10/2011


KUANTAN, 18 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbang untuk melanjutkan perkhidmatan penjawat awam berstatus kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatan pada 31 Dis ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada penjawat awam di jabatan, agensi dan badan berkanun berstatus kontrak yang telah diberikan surat tidak dilanjutkan perkhidmatan mereka.

"Cuepacs akan menghantar surat secara rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memohon jasa baik beliau untuk melanjutkan kontrak pekerja berkenaan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun lagi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat isu semasa di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, Selasa.

Beliau berkata tempoh berkenaan bagi membolehkan penjawat awam tersebut yang kebanyakannya daripada kumpulan pengurusan dan profesional memohon perjawatan tetap atau mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, kerajaan seboleh-bolehnya diminta agar menyerap penjawat awam berstatus kontrak terbabit untuk memenuhi jawatan kosong yang wujud dalam perkhidmatan awam ketika ini.

"Ada antara mereka yang telah berkhidmat selama 15 tahun dan kalau ditamatkan begitu sahaja, sudah pasti akan menyusahkan kehidupan mereka yang mempunyai pelbagai bebanan dan tanggungan," katanya.

Omar berkata, terdapat kira-kira 45,000 pekerja berstatus kontrak pada masa ini, namun beliau difahamkan bukan kesemua mereka tidak dilanjutkan kontrak pada hujung tahun ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan para graduan agar tidak berasa bimbang berhubung had umur persaraan yang dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun kerana ia tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan dalam sektor awam.

Katanya, bukan kesemua penjawat awam akan berkhidmat sehingga usia 60 tahun dan hanya mereka yang mempunyai kesihatan serta masih mampu menyumbang idea dan inovasi bakal diberikan keutamaan.

-- BERNAMA

Isnin, 17 Oktober 2011

PENYERAHAN TUGAS DAN MESYUARAT AMJK BIL.1 SESI 2011-2013

Kesukma
17/10/2011


KESUKMA telah mengadakan menyuarat AMJK bil.1 sesi 2011-2013 pada 14 Oktober 2011 jam 9.00pagi. Sebelum memulakan mesyuarat , upacara penyerahan tugas Presiden telah dilakukan . Tuan Haji Mat Isa Jamal mantan Presiden menyerahkan dokumen kepada Sdra Abdul Rahman Mohd Nordin Presiden yang akan menerajui KESUKMA sesi 2011-2013. Semua AMJK yang hadir mesyuarat menyaksikan penyerahan dokumen tersebut.

Sabtu, 1 Oktober 2011

KEPIMPINAN BARU AHLI MAJLIS JAWATANKUASA KERJA KESUKMA KE-19

Media Kesukma
10/1/2011

Barisan Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja KESUKMA Ke-19 :


Presiden


1. Sdr. Abdul Rahman Hj. Mohd Nordin

Naib Presiden

1. Sdra. Raub Hj. Salleh

Setiausaha

1. Hjh. Zaiton Othman

Penolong Setiausaha

1. Hjh. Fauziah Ramli

Bendahari

1. Hj. Nadzri Daud


Ahli Jawatankuasa

1. Sdra Mohd Sinin Mohd Sani (JPP)
2. Hjh. Samiah Kadri (FST)
3. Sdra Kamaruddin Mat Rawi (KKL)
4. Sdra Razali Sulaiman Shah (KKL)
5. Sdra Harun Mohd Yusof (FST)
6. Hj. Ramli mahmood (PPU)
7. Hj. Ismail Ibrahim (Penerbit)
8. Sdra Hasnan Musa (PPUKM)
9. Sdri Rosmah Md Noor (FPendidikan)
10 Sdri Latifah Sahid (PPUKM)