Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Khamis, 14 Jun 2012

RAHIM MENDUDU DEMI ARASH

Utusan Malaysia
Abdul Rahim tidak kekok menyediakan sarapan sebelum anaknya pergi ke sekolah.Sebagaimana bapa-bapa lain, Abdul Rahim Sirat, 44, amat menantikan tibanya Hari Bapa yang disambut pada setiap Ahad minggu kedua bulan Jun.Baginya hari berkenaan amat istimewa apabila pada masa itu anaknya, Mohamad Arash (Arash), 13, akan menghadiahkan ciuman buatnya sebelum memberikan sekeping kad buatan sendiri dengan ucapan selamat untuknya."Seterusnya kami akan ke kedai dan makan bersama untuk meraikan hari itu," katanya sambil memandang anaknya dengan penuh rasa sayang.Bagi Abdul Rahim semenjak kematian isterinya, Kartina Wadi, 14 tahun lepas, dia mengambil-alih rutin isterinya itu seperti memasak, mengemas rumah serta memastikan Arash terjaga kebajikannya.Dia yang ditemui di rumahnya di Beranang, Selangor, baru-baru ini, bercerita bagaimana dia dan isteri dipertemukan oleh keluarga dan kemudian dinikahkan pada tahun 1998.
 
"Pendek kata saya dan arwah isteri mula bercinta selepas kami berkahwin. malangnya dia yang berusia sepuluh tahun lebih tua dari dijemput Ilahi akibat sakit jantung. Ketika itu usia Arash baru mencecah dua tahun," katanya.Abdul Rahim berkata, memandangkan anaknya masih kecil dan memikirkan perlunya perhatian seorang ibu, dia mengambil keputusan untuk berkahwin semula ketika Arash berusia lima tahun.Sebelum itu, dia banyak dibantu oleh ibunya yang tinggal di Beranang, Selangor untuk menjaga Arash sepeninggalannya ke tempat kerja.
"Namun perkahwinan kali kedua itu hanya bertahan lima bulan kerana bekas isteri saya itu tidak boleh menerima Arash dalam hidupnya. 

"Dia suka memukul Arash menyebabkan saya mengambil keputusan untuk bercerai dan menjaga Arash sendiri tanpa mengharapkan sesiapa," katanya yang bertugas di bahagian landskap di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor.Apabila ditanya adakah Arash tidak pernah menyebut untuk mempunyai ibu sebagaimana rakan-rakan lain, Abdul Rahim menjelaskan mungkin anaknya itu fobia dengan pengalaman beribu tiri menyebabkan dia tidak pernah mengharapkan ayahnya berkahwin lagi.Bagi Abdul Rahim, dia juga mengakui hatinya agak tertutup untuk berkahwin lagi buat masa ini kerana mahu menumpukan perhatian terhadap anaknya."Tidak tahulah pada masa akan datang apabila Arash sudah besar dan sudah pandai menjaga diri sendiri. Buat masa ini biarlah saya menjaganya kerana apa-apa yang berlaku dia di bawah pengawasan saya," katanya.Dalam pada itu apabila ditanya tidakkah hatinya berasa sunyi kerana tidak diisi dengan kasih sayang seorang isteri sejak sekian lama, dia berkata, kadangkala ada juga, namun semua itu dipendam dalam lubuk hatinya.
Jika ada masa terluang, Abdul Rahim akan keluar berjalan-jalan dengan rakan-rakan untuk memastikan masanya terisi.Waima apa pun yang dilakukan, pada setiap cuti sekolah Abdul Rahim akan membawa anak tunggalnya itu bersama-sama melakukan aktiviti."Kami sebenarnya tidak pernah berenggang. Anak saya minat sukan malah seorang pemain futsal di sekolah manakala saya minat bidang seni. Sekiranya ada latihan futsal saya akan menemani anak saya dan sekiranya saya ada jemputan melihat teater atau konsert, saya akan bawa dia bersama," katanya.Apabila ditanya mengenai rutin hariannya, Abdul Rahim berkata, setiap pagi dia akan bangun lebih awal untuk menyiapkan sarapan sebelum menghantar Arash ke Sekolah Integrasi Beranang dan terus ke tempat kerja."Jam 5 petang Arash akan balik ke rumah ibu saya di Beranang dan pada pukul 5.30 petang saya akan mengambilnya balik ke rumah selepas habis kerja.
"Sampai di rumah saya akan masak makan malam, mengemas rumah, membasuh baju, mengemop lantai sehingga selesai semua urusan sebelum menemani Arash membuat kerja rumah kemudian tidur," jelasnya.

Selasa, 5 Jun 2012

UKM TEMPAT 31 UNIVERSITI TERBAIK DUNIA

Utusan Malaysia
30 Mei 2012



TUANKU Muhriz Tuanku Munawir (lima, kanan) melihat demonstrasi CPR oleh pelajar Jabatan Perubatan Kecemasan sempena Sambutan 40 Tahun Fakulti Perubatan UKM di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. Turut berangkat Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud (tiga, kanan) diiringi Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (kanan). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 30 Mei - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menduduki tangga ke-31 carta universiti terbaik dunia mengikut Quacquarelli Symonds (QS) QS-World University Ranking 2012/2013.
Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, pengiktirafan QS iaitu syarikat penarafan berpangkalan di London itu adalah bagi kategori universiti berusia bawah 50 tahun.
"Pengiktirafan itu menjadikan UKM satu-satunya universiti tempatan yang tersenarai dalam kelompok universiti terbaik daripada beribu-ribu universiti di dunia.

"Sebagai universiti yang masih muda, UKM membuktikan kecemerlangan dalam saingan dengan universiti dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan banyak lagi," katanya kepada pemberita selepas perasmian Sambutan 40 Tahun Fakulti Perubatan UKM, di sini hari ini.Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Canselor UKM. Turut mengiringi baginda ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Sharifah Hapsah berkata, penilaian QS itu dibuat berdasarkan pencapaian dan kriteria seperti penyelidikan, penerbitan, populasi tenaga pengajar dan pelajar.
"UKM sudah mencapai pelbagai kemajuan termasuk menjadi universiti yang melahirkan pakar perubatan paling ramai di negara ini," katanya.Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan terus membantu usaha meningkatkan kewibawaan UKM sebagai universiti disegani."Hasrat kita selepas ini adalah untuk berada di dalam senarai 10 universiti terbaik," katanya.Sejak penubuhannya, Fakulti Perubatan UKM telah melahirkan 5,144 doktor perubatan, 2,814 doktor pakar dalam pelbagai bidang serta 94 doktor falsafah.

Isnin, 4 Jun 2012

PENJAWAT AWAM SUKAR BELI RUMAH

Utusan Malaysia
Oleh ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR 4 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan dan pemaju-pemaju perumahan agar bersama-sama membantu penjawat awam berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah tanpa membebankan mereka.Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, ia ekoran kenaikan harga rumah yang begitu pantas dan dilihat tidak terkawal.
Katanya, seorang penjawat awam Kumpulan Pelaksana yang menerima gaji bulanan tanpa sebarang pendapatan tambahan tidak berkemampuan membeli rumah di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang kerana harga rumah yang melambung tinggi."Sebagai contoh, pekerja yang berpendapatan RM3,000 sebulan yang ingin membeli rumah pangsapuri bernilai RM160,000 ke RM200,000 akan berdepan kesulitan dari segi pembayaran.

Rabu, 30 Mei 2012

CUEPACS MINTA KERAJAAN NAIKKAN GRED 50,00 PEKERJA PERHUTANAN, PERTANIAN DAN TEKNIKAL

Bernama
30/5/2012


KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbang cadangan supaya menaikkan gred jawatan kira-kira 50,000 pekerja perhutanan, pertanian dan teknikal.

Setiausaha Agung CUEPACS Lok Yim Pheng berkata kesemua pekerja terbabit yang kini dalam gred G17, G22 dan G26 dicadang dinaikkan kepada gred G27, G32 dan G36 kerana mereka mempunyai kelayakan akademik dan sijil kemahiran.

Beliau berkata ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan pekerja mahir ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Jadi pekerja yang ada kemahiran khas atau bertaraf antarabangsa perlu diberi pengiktirafan," katanya kepada Bernama.

Lok berkata cadangan mengenai penarafan gred tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Mac lepas.

-- BERNAMA

Sabtu, 7 Januari 2012

KEJOHANAN TENPIN BOLING KESUKMA

Media Kesukma
9/1/2012


Dimaklumkan bahawa Kesatuan Kakitangan Am UKM (KESUKMA) akan menganjurkan Kejohanan Tenpin Boling KESUKMA seperti berikut:

Tarikh: 28 Januari 2012 (Sabtu)
Masa: 10.00 pagi
Tempat: Ampang Superbowl, Metropoint, Kajang, Selangor

Penyertaan terbuka kepada semua kakitangan UKM.

Maklumat lanjut sila klik poster dan borang.


Isnin, 5 Disember 2011

MAHKAMAH PUTUSKAN KESATUAN SEKERJA TIDAK BOLEH DISAMAN

Bernama
25/11/2011



KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Khamis memutuskan kesatuan sekerja menikmati imuniti mutlak daripada disaman di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Hakim Datuk V T Singham berkata Seksyen 22(1) akta itu memberikan perlindungan kepada kesatuan sekerja daripada mana-mana saman yang difailkan di mahkamah, malahan jika pun, wakil kesatuan telah memfitnah pihak satu lagi(majikan).

"Mungkin sudah tiba masanya bagi penggubal undang-undang untuk menimbangkan secara serius sama ada perbuatan fitnah tort, jika dilakukan oleh atau mewakili pihak kesatuan sekerja dan malahan jika ia dilakukan ketika sedang dipertimbangkan atau pelanjutan pertikaian sekerja, patut diberikan perlindungan imuniti seperti di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 22 akta itu," katanya.

Hakim Singham juga berkata adalah sangat jelas di bawah seksyen itu bahawa mahkamah tidak sepatutnya melayani sebarang saman terhadap kesatuan sekerja.

Oleh yang demikian, beliau menolak saman fitnah yang dikemukakan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan setiausaha agungnya J Sandagran Solomon.

Hakim Singham membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan NUBE untuk membatalkan saman itu atas alasan mereka mempunyai imuniti mutlak sebagai kesatuan sekerja mengikut Seksyen 22(1) akta itu.

Beliau juga memerintahkan Maybank membayar RM15,000 sebagai kos kepada para defendan.

Maybank memfailkan saman itu pada 22 April tahun ini, mendakwa Solomon, bertindak mewakili dirinya sendiri dan NUBE, pada Februari atau Mac tahun ini telah menerbitkan artikel mengandungi kenyataan berbaur fitnah mengenai syarikat itu dalam laman web NUBE.

Ia mendakwa kenyataan itu bermaksud plaintif telah menjalankan hal ehwalnya secara tidak amanah dengan mahu menggunakan dananya untuk manfaat pengurusan kanannya sahaja dengan meminggirkan pekerjanya.

Para defendan menyatakan kenyataan itu berkaitan dengan pertikaian yang sedang berlaku di antara plaintif dan NUBE berhubung dakwaan pemberian bonus yang kurang kepada staf peringkat bawahan syarikat itu.

Mereka berkata pertikaian itu telah berlarutan sejak 2009 dan berterusan sehingga sekarang.

Isnin, 7 November 2011

KESATUAN SEKRJA BANTAH DAP

Utusan Malaysia
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA, MD. AZRIN ROSLY,
FAZRINA AYU RADUIAN dan MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
8/11/2011




KUALA LUMPUR 7 Nov. – Beberapa kesatuan sekerja hari ini bangkit menentang hasrat DAP yang mahu mengurangkan bilangan penjawat awam.

Sambil menyifatkan, ia satu tindakan berunsur politik dan mempunyai agenda tersirat, kesatuan-kesatuan juga menyifatkan cadangan itu sebagai tidak rasional serta tidak berasas.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, hasrat tersebut adalah tidak rasional kerana tidak mempunyai alasan yang munasabah.

“Kami di bidang perguruan khususnya menolak 100 peratus hasrat tersebut yang dilihat bukan satu langkah bijak.

“Lebih-lebih lagi peningkatan pelajar sebanyak 500,000 orang setiap tahun manakala banyak guru yang akan bersara menyebabkan keperluan guru meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara dan mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri tidak bersetuju dengan hasrat tersebut yang dilihat boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas.

“Contohnya, dalam bidang penguatkuasaan seperti kami, sekiranya tenaga kerja dikurangkan, sudah tentu akan menyukarkan untuk mengawal jumlah kenderaan yang berjuta-juta.

“Tidak mungkin, suatu masa nanti kita mahu menswastakan perkhidmatan awam yang menyebabkan lebih mementingkan keuntungan berbanding untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (Kesukma), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, pengurangan itu lebih membawa keburukan daripada kebaikan yang mana meningkatkan lagi pengangguran dan kebergantungan khidmat luar sehingga menyebabkan kos lebih tinggi.

“Hasrat DAP dilihat mempunyai agenda tersirat umpama ada udang di sebalik batu. Dalam perkhidmatan kami, bilangan pelajar semakin lama makin meningkat dan memerlukan penambahan kakitangan mengikut keadaan,” jelasnya.

Bagi Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Cawangan Kuala Lumpur, Ja‘apar Mansor berkata, tidak semestinya pengurangan bilangan penjawat awam akan dapat mengurangkan bajet kerajaan malah boleh menyebabkan kesan yang sebaliknya.

Pengerusi Persatuan Pekerja Wanita, Silam Hassan berkata, pengurangan berkenaan adalah agenda DAP untuk mengurangkan hasil ekonomi orang Melayu dan ini membuktikan mereka kurang senang dengan pencapaian bumiputera kini.

“Jika penjawat awam rata-rata bangsa Melayu dikurangkan, mereka juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberi peluang untuk menjawat jawatan di syarikat milik bukan Melayu,” katanya.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja Pekerja KTMB, Abdul Razak Md. Hassan berkata, hasrat tersebut perlu dibantah keras kerana kewujudan pelbagai sektor awam di negara ini adalah inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat di negara ini agar mempunyai punca pendapatan.

“Adakah dengan berniat mengurangkan jumlah penjawat awam maka ruang kerja akan disediakan oleh mereka yang terlibat. Ini sesuatu yang perlu dipandang serius dan ditentang kerana akan meningkatkan jumlah pengangguran,” katanya.

Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KSKM), Hamran Ahmad menyatakan kenyataan yang dibuat Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua itu lebih berat kepada unsur-unsur politik daripada menjaga kepentingan penjawat awam yang lebih 80 peratus terdiri daripada orang Melayu.

“Mengurangkan jumlah kakitangan bermakna ada penjawat yang akan kehilangan kerja. Ini akan membantutkan perkembangan ekonomi negara dan akan memberi impak yang tidak sihat kepada negara,” katanya.

Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia turut membantah cadangan DAP dengan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Presidennya, Alias Aziz berkata, kerajaan yang baik ialah kerajaan yang dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara.