UKM News
26/9/2013
26/9/2013
19:59
ukmkini2013
ACEH
TENGAH, 26 Sep 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini telah
menyampaikan bantuan kepada masyarakat Kampung Cangduri, Mukim Ketul di
Aceh Tengah yang dilanda gempa bumi tiga bulan lalu.
Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala richter
pada 2 Julai lalu itu telah menenggelamkan Kampung Serempah salah satu
kampung dalam kawasan Ketul di sini.
Ia juga mengorbankan seramai 30 orang
penduduk, meruntuhkan tiga buah masjid, ratusan rumah kediaman serta
kemudahan awam. Malah empat orang lagi mangsa masih belum ditemui.
Bantuan kepada 600 orang mangsa itu telah
disampaikan oleh sekumpulan pegawai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
yang digerakkan oleh Pejabat Hubungan Universiti Masyarakat (PHUM).
Misi itu diselaraskan oleh Timbalan Pengarah
Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Encik Abdul Razak Hussin dan disertai
Encik Mokshin Tumin, Ketua Unit Zakat; Encik Muhammad Tajuddin Abd
Rahim, Pegawai Unit Zakat dan Encik Khairil Khuzairi, Pegawai Pusat
Islam serta dibantu Encik Abdullah Wahab, Pengurus Rumah Anak Yatim
Al-Ain Banda Aceh.
Perjalanan dari Banda Aceh ke lokasi gempa mengambi masa 14 jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Ia diusahakan atas keprihatinan terhadap
kesukaran mangsa gempa yang masih belum terbela sepenuhnya walau pun
sudah berlalu hampir tiga bulan. Terdapat beberapa keluarga yang masih
tinggal di khemah yang disediakan oleh NGO.
Bantuan itu berupa sumbangan dari Unit
Zakat, Pusat Islam, PHUM, Persatuan Setiusaha, SUKMANITA, UKM Holdings,
Syarikat REXPO, Kelab Pegawai Sains, Persatuan Kakitangan Akademik,
Surau Al-Kautsar Bangi, PERTADI, KESUKMA, warga UKM dan orang
perseorangan.
Dana yang terkumpul telah digunakan untuk
membekalkan beras, gula, minyak masak, pakaian sekolah dan peralatan di
surau sementara kampung itu yang juga digunakan sebagai sekolah agama.
Ketua Kampung itu telah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UKM atas keprihatinan yang ditunjukkan.
Mereka juga mengharapkan bantuan untuk
membangunkan semula masjid yang turut digunakan sebagai madrasah dengan
kos yang dianggarkan RM150,000.