12/03/2013
Putrajaya: Kerajaan mengumumkan kenaikan gred gaji baru bagi
pegawai dan anggota tentera serta polis untuk disetarakan dengan
perkhidmatan awam lain dalam Sistem Saraan Baru (SSB).
Pelarasan yang dinamakan Sistem Saraan Transformatif (SST) itu akan
menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diguna pakai sebelum ini,
diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis
Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII), di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Beliau berkata, pelarasan gaji bagi Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkuatkuasa 1 Januari lalu
bakal memanfaatkan 233,192 anggota pasukan keselamatan di seluruh
negara, iaitu 109,209 PDRM dan 123,983 ATM.
Pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan
dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau
gred gaji.
Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas khas, struktur pangkat dan kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM serta PDRM, katanya.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua
Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Farida
Mohd Ali.
Pendek masa naik pangkat
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan setuju menambahbaik
pelaksanaan urusan kenaikan pangkat kumpulan pelaksana kakitangan awam
dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat
daripada 15 tahun kepada 13 tahun.
Katanya, pelaksanaan
penambahbaikan itu berasaskan kecemerlangan yang akan memanfaatkan
lebih 17,000 penjawat awam yang layak.
Di samping itu, kerajaan
secara prinsipnya bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan
pangkat laluan pantas, kenaikan pangkat laluan pakar bidang dan kenaikan
pangkat laluan kemahiran tinggi bagi menambah baik laluan kemajuan
kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang.
Kaedah
pelaksanaannya, termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas
untuk ketiga-tiga laluan baru itu akan diperincikan sebelum
dilaksanakan, katanya.
Kenaikan gaji tahunan
Najib turut menyampaikan berita gembira kepada 182,434 penjawat awam
yang berada pada tangga gaji maksimum dan tidak menikmati kenaikan gaji
tahunan dengan mengumumkan kenaikan gaji tahunan (KGT) sebanyak tiga
kenaikan, berkuat kuasa 1 Januari 2013 untuk semua struktur gaji
maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum.
Selain itu, semua
penjawat awam menerima faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT yang
dipercepatkan pada 1 Julai 2013 dengan setiap penjawat awam mendapat
kenaikan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred gaji masing-masing,
membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.
Sekiranya tiada pelarasan
gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju pergerakan gaji khas
sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada
pada gaji maksimum, katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan
juga bersetuju menyambung perkhidmatan hampir 50,000 kakitangan awam
kontrak selama setahun lagi apabila kontrak mereka tamat pada 31
Disember depan sementara menunggu kajian menyeluruh berhubung perkara
itu dilaksanakan.