Kesatuan kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Isnin, 5 Disember 2011

MAHKAMAH PUTUSKAN KESATUAN SEKERJA TIDAK BOLEH DISAMAN

Bernama
25/11/2011



KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Khamis memutuskan kesatuan sekerja menikmati imuniti mutlak daripada disaman di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Hakim Datuk V T Singham berkata Seksyen 22(1) akta itu memberikan perlindungan kepada kesatuan sekerja daripada mana-mana saman yang difailkan di mahkamah, malahan jika pun, wakil kesatuan telah memfitnah pihak satu lagi(majikan).

"Mungkin sudah tiba masanya bagi penggubal undang-undang untuk menimbangkan secara serius sama ada perbuatan fitnah tort, jika dilakukan oleh atau mewakili pihak kesatuan sekerja dan malahan jika ia dilakukan ketika sedang dipertimbangkan atau pelanjutan pertikaian sekerja, patut diberikan perlindungan imuniti seperti di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 22 akta itu," katanya.

Hakim Singham juga berkata adalah sangat jelas di bawah seksyen itu bahawa mahkamah tidak sepatutnya melayani sebarang saman terhadap kesatuan sekerja.

Oleh yang demikian, beliau menolak saman fitnah yang dikemukakan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan setiausaha agungnya J Sandagran Solomon.

Hakim Singham membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan NUBE untuk membatalkan saman itu atas alasan mereka mempunyai imuniti mutlak sebagai kesatuan sekerja mengikut Seksyen 22(1) akta itu.

Beliau juga memerintahkan Maybank membayar RM15,000 sebagai kos kepada para defendan.

Maybank memfailkan saman itu pada 22 April tahun ini, mendakwa Solomon, bertindak mewakili dirinya sendiri dan NUBE, pada Februari atau Mac tahun ini telah menerbitkan artikel mengandungi kenyataan berbaur fitnah mengenai syarikat itu dalam laman web NUBE.

Ia mendakwa kenyataan itu bermaksud plaintif telah menjalankan hal ehwalnya secara tidak amanah dengan mahu menggunakan dananya untuk manfaat pengurusan kanannya sahaja dengan meminggirkan pekerjanya.

Para defendan menyatakan kenyataan itu berkaitan dengan pertikaian yang sedang berlaku di antara plaintif dan NUBE berhubung dakwaan pemberian bonus yang kurang kepada staf peringkat bawahan syarikat itu.

Mereka berkata pertikaian itu telah berlarutan sejak 2009 dan berterusan sehingga sekarang.